PRN N9: 11 kerusi masih jadi tanda tanya, Zahid sahkan ada rundingan
SEREMBAN – Barisan Nasional (BN) dijangka memuktamadkan senarai calon bagi baki 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan esok selepas rundingan dengan pihak berkaitan selesai.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan berhubung baki kerusi itu akan dibuat selepas perbincangan yang masih berlangsung dengan pihak lain.
“Kita ada perbincangan dengan pihak lain. Esok akan ditentukan, malam esok,” katanya ringkas kepada media selepas Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN bagi PRN Negeri Sembilan di Paroi, malam tadi.
Terdahulu, BN mengumumkan 25 calon yang akan bertanding pada PRN Negeri Sembilan ke-16, manakala baki 11 kerusi masih belum diumumkan, sekali gus mencetuskan tanda tanya mengenai agihan kerusi dan rundingan yang sedang berlangsung.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mendedahkan bahawa parti itu sedang mengadakan rundingan dengan BN bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan pada 1 Ogos ini.
Beliau berkata, perbincangan antara kedua-dua pihak sedang berjalan dan menunjukkan perkembangan positif.
Bagaimanapun, Ahmad Zahid sebelum ini mengesahkan tidak ada sebarang perbincangan dengan Pas mengenai hala tuju strategi politik menjelang PRN Negeri Sembilan.
Pada PRN 2023, BN memenangi 14 daripada 17 kerusi DUN yang ditandinginya, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi 17 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) lima kerusi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








