BERITA SEMASA

PRN Negeri Sembilan: BERSATU bertanding guna simbol sendiri, kesal PAS runding dengan BN

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan akan meletakkan calon-calonnya bertanding menggunakan simbol parti sendiri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan selepas rundingan pembahagian kerusi Perikatan Nasional (PN) gagal dimuktamadkan.

Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan yang berlangsung pada 12 Julai lalu ditangguhkan selepas PAS mengambil pendirian untuk mengadakan kerjasama politik dengan Barisan Nasional (BN).

Menurut beliau, BERSATU berpandangan sebarang keputusan berkaitan dasar dan hala tuju gabungan itu perlu dibincangkan serta dipersetujui terlebih dahulu oleh Majlis Tertinggi PN, namun sehingga kini mesyuarat berkenaan masih belum diadakan.

“Kegagalan Pengerusi PN memanggil mesyuarat Majlis Tertinggi PN untuk menentukan dasar dan hala tuju parti pada saat genting ketika PN sedang menghadapi PRN Negeri Sembilan adalah amat dikesali dan bercanggah dengan Perlembagaan PN.

“Mengambil kira kedudukan ini, Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang bermesyuarat pada malam ini merakamkan rasa kesal terhadap tindakan PAS mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti anggota PN dan tanpa persetujuan Majlis Tertinggi PN,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, BERSATU juga kecewa dengan beberapa keputusan unilateral PAS, termasuk kenyataan pemimpinnya yang disifatkan memberi kelebihan kepada BN dalam PRN Johor dan kini PRN Negeri Sembilan, yang menurutnya tidak pernah dipersetujui oleh Majlis Tertinggi PN serta bertentangan dengan kepentingan gabungan itu sebagai alternatif kepada BN dan Pakatan Harapan (PH).

Sehubungan itu katanya, Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU memutuskan semua calon parti itu akan bertanding menggunakan simbol BERSATU pada PRN Negeri Sembilan.

Selain itu katanya, BERSATU turut memberi mandat kepada Presidennya untuk membenarkan calon daripada parti-parti lain menggunakan simbol BERSATU pada pilihan raya berkenaan.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mendakwa PN yang dipimpin PAS telah menyimpang daripada matlamat asal gabungan itu, khususnya dalam mempertahankan Malaysia sebagai sebuah negara majmuk yang berbilang kaum, agama dan budaya.

Beliau menegaskan BERSATU kekal komited dengan pendekatan sederhana dan progresif berlandaskan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara, di samping memperjuangkan dasar yang menyokong kemajuan ekonomi dan kebajikan rakyat.

Muhyiddin turut menyeru pengundi di Negeri Sembilan agar memberikan sokongan kepada calon-calon BERSATU pada PRN Negeri Sembilan demi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negeri itu.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button