Murid Tahun Satu maut dilanggar bas sekolah selepas turun depan rumah
KLUANG – Seorang murid Tahun Satu maut selepas dipercayai dilanggar sebuah bas sekolah sejurus diturunkan di Jalan Bunga Raya 3, Taman Sri Lalang, di sini, petang tadi.
Dalam kejadian pada pukul 4.20 petang itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asistan Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan awal mendapati bas sekolah yang dipandu seorang wanita berusia 36 tahun baru sahaja menurunkan mangsa di Jalan Bunga Raya.
Beliau berkata, ketika pemandu itu meneruskan perjalanan dan membelok ke Jalan Bunga Raya 3, bas berkenaan dipercayai melanggar murid lelaki yang berada di sebelah kiri jalan.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Bahrin, pemandu bas berkenaan turut mengalami trauma sejurus selepas kemalangan itu sebelum pengsan di tempat kejadian.
Katanya, wanita itu kini masih menerima rawatan di hospital dan akan menjalani ujian saringan air kencing sebaik sahaja dibenarkan keluar.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu atau berbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








