Jenayah & Mahkamah

Polis rampas dadah jenis syabu seberat 52 kg di Kelantan

KOTA BHARU – Lapan lelaki termasuk seorang warga Thailand ditahan dalam lima serbuan dengan rampasan dadah jenis syabu seberat 52 kilogram diangggarkan bernilai RM17.2 juta pada 25 Oktober lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, dadah tersebut ditemukan di dalam tiga buah kenderaan ketika serbuah dilakukan oleh JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Kelantan.

“Dalam serbuan itu, polis menahan lapan suspek iaitu tujuh lelaki tempatan dan seorang lelaki Thailand berumur dalam lingkungan 20 hingga 54 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penyeludupan dan pengedaran dadah untuk pasaran tempatan.

“Modus operandi yang digunakan sindiket ini adalah dengan menyeludup masuk bekalan dadah dari negara jiran melalui jalan darat sebelum diedar untuk pasaran tempatan terutama di sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Kamarudin berkata sindiket terbabit dipercayai aktif pada awal Mei lalu dan saringan awal polis mendapati seorang suspek positif dadah jenis Benzo, manakala tujuh lagi negatif ujian air kencing.

“Semakan rekod jenayah mendapati lima suspek mempunyai rekod lampau kesalahan jenayah dan dadah. Lima kenderaan yang dianggarkan bernilai RM309,000 disita menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk dadah RM17.5 juta,” katanya.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan semua suspek ditahan reman tujuh hari dari 26 Oktober hingga 1 November bagi membantu siasatan.

Show More

Related Articles

Back to top button