BERITA SEMASA

Sembilan stesen minyak di Kelantan disiasat susulan jualan mencurigakan

RANTAU PANJANG – Sebanyak sembilan stesen minyak di sepanjang sempadan Kelantan kini berada dalam pemerhatian pihak berkuasa selepas merekodkan jumlah jualan petrol dan diesel luar biasa, sekali gus menimbulkan syak terhadap kemungkinan berlaku aktiviti penyelewengan.

Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Azman Adam berkata, stesen minyak terbabit terletak di empat daerah, iaitu Pasir Mas, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli.

Menurut beliau, jumlah jualan di premis berkenaan didapati menurun secara mendadak setiap kali pegawai penguat kuasa ditempatkan untuk pemantauan statik.

“Di Kelantan, kami memantau jualan stesen minyak setiap hari. Berdasarkan data yang diperoleh, apabila jualan tinggi direkodkan, pegawai akan dihantar untuk memastikan urus niaga tersebut adalah sah.

“Namun, hasil pemantauan mendapati jualan merosot dengan ketara apabila anggota penguat kuasa berada di lokasi,” memetik NST online.

Azman berkata, meskipun terdapat kawasan yang secara semula jadi mencatat jualan tinggi disebabkan kepadatan penduduk, pihak kementerian tidak menolak kemungkinan berlakunya ketirisan, sama ada melibatkan pengusaha stesen minyak atau pengguna yang melakukan pembelian berulang.

“Jika didapati berlaku pakatan antara pengusaha dan pembeli bagi memudahkan penyelewengan bahan api, tindakan tegas termasuk penggantungan lesen akan diambil.

“Kami tidak akan berkompromi dalam isu ini dan orang ramai diminta menyalurkan maklumat sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button