Dua lelaki ditahan, 100 kotak minuman keras tidak bercukai dirampas di Klang
KUALA LUMPUR – Dua lelaki ditahan dalam Op Taring Alpha 4 di Klang, Selangor susulan rampasan 100 kotak minuman keras disyaki tidak bercukai bernilai lebih RM409,000 oleh Pasukan Gerakan Am (PGA), semalam.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Amanjit Singh berkata, kedua-dua suspek berusia lingkungan 40 tahun ditahan di Jalan Berai, Klang pada pukul 1 tengah hari semalam, semasa dipercayai sedang memindahkan kotak minuman keras daripada lori ke sebuah kereta.
Katanya, tangkapan tersebut merupakan hasil maklumat risikan daripada Cawangan Risik Batalion 4 PGA Semenyih, dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah serta Unit Rondaan Cegah Jenayah (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.
“Pemeriksaan terhadap lori dan kereta itu menemui 100 kotak minuman keras yang disyaki tidak bercukai kastam.
“Turut dirampas sebuah lori, kereta dan telefon bimbit dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM409,818,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Amanjit berkata, seorang daripada suspek merupakan warga tempatan, manakala seorang lagi adalah warga negara India.
Katanya, kedua-dua suspek bersama semua barang rampasan dibawa ke IPD Klang Selatan untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Orang ramai diminta terus menyalurkan maklumat kepada polis bagi membantu membanteras sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








