LUAR NEGARA

Trump ancam perluas serangan, sasar loji jana kuasa, jambatan Iran minggu depan

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, memberi amaran serangan ketenteraan terhadap Iran akan diterus dan dipertingkatkan dalam beberapa hari akan datang, termasuk menyasarkan loji jana kuasa serta jambatan di negara itu sekiranya Tehran enggan kembali ke meja rundingan.

Trump berkata, tentera AS kini melancarkan serangan secara berterusan terhadap pelbagai sasaran strategik Iran di kawasan pesisir negara itu.

“Kami menyerang mereka dengan sangat hebat. Kami menyerang setiap aset yang mereka miliki di sepanjang pantai dan kawasan persisiran. Serangan akan diteruskan sehingga saya mengatakan ia mencukupi,” katanya dalam wawancara bersama Fox News.

Beliau turut membayangkan sasaran berkaitan tenaga akan menjadi fokus seterusnya.

“Saya akan simpan sasaran tenaga untuk peringkat akhir, tetapi akhirnya kami akan menyerang kemudahan tenaga mereka,” katanya.

Trump berkata, operasi ketenteraan akan dipergiatkan mulai minggu depan dengan sasaran utama ialah loji jana kuasa dan jambatan di seluruh Iran.

“Malam ini kami akan menyerang mereka dengan sangat kuat. Esok malam juga begitu, begitu juga malam berikutnya. Minggu depan keadaan akan menjadi lebih buruk kerana kami akan menyasarkan loji jana kuasa dan jambatan mereka.

“Kami akan memusnahkan semua loji jana kuasa dan jambatan mereka melainkan mereka kembali ke meja rundingan,” katanya.

Beliau mendakwa Iran kini tidak mempunyai pilihan selain menerima rundingan damai, sambil memaklumkan wakil AS masih berhubung dengan pegawai Iran sehingga kira-kira sejam sebelum wawancara itu berlangsung.

“Mereka mahu mencapai persetujuan. Lebih baik mereka membuat perjanjian kerana jika tidak, tiada apa lagi yang akan tinggal,” katanya.

Beliau turut menegaskan AS mahu Selat Hormuz kekal dibuka kepada pelayaran antarabangsa serta menyifatkan kekuatan ketenteraan sebagai satu-satunya cara untuk memaksa Iran berunding.

Kenyataan itu dibuat selepas Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) mengesahkan satu lagi siri serangan dilancarkan terhadap Iran bagi melemahkan keupayaan ketenteraannya di sekitar Selat Hormuz.

CENTCOM turut memaklumkan lebih 20 kapal perang Tentera Laut AS dan ratusan pesawat tentera kini beroperasi di Asia Barat susulan sekatan laut terhadap Iran yang disambung semula.

Sementara itu, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) mendakwa berjaya memusnahkan beberapa aset ketenteraan AS, termasuk dron, dalam serangan di Bahrain dan Kuwait.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button