Sepanyol mara ke final Piala Dunia, tewaskan Perancis 2-0
NEW YORK – Juara Eropah, Sepanyol, melangkah bergaya ke pentas final Piala Dunia selepas menewaskan pilihan utama, Perancis 2-0 pada aksi separuh akhir awal pagi tadi.
Kemenangan itu memastikan Sepanyol hanya selangkah lagi untuk meraih gelaran juara kedua selepas kejayaan pada edisi 2010.
Mikel Oyarzabal meletakkan Sepanyol di hadapan menerusi sepakan penalti pada minit ke-22 selepas pemain muda sensasi, Lamine Yamal dijatuhkan Lucas Digne di dalam kotak penalti.
Sepanyol terus menguasai permainan menerusi corak hantaran kemas dan kawalan tempo sebelum Pedro Porro menggandakan kelebihan pada minit ke-58 hasil gerakan satu-dua bersama Dani Olmo sebelum menewaskan penjaga gol Perancis, Mike Maignan.
Sepanjang kejohanan, Sepanyol hanya melepaskan satu gol, sekali gus mempamerkan kekuatan benteng pertahanan di samping ketajaman jentera serangan yang diterajui Lamine Yamal.
Pada final Ahad ini di Stadium New York/New Jersey, Sepanyol akan berdepan pemenang satu lagi aksi separuh akhir antara England dan Argentina.
Sementara itu, Perancis yang memburu penampilan ketiga berturut-turut di pentas final gagal memanfaatkan peluang meskipun melepaskan 14 percubaan dengan hanya empat tepat ke sasaran.
Barisan serangan yang diketuai Kylian Mbappe bersama pemenang Ballon d’Or, Ousmane Dembele dan Michael Olise turut gagal menembusi kekebalan pertahanan Sepanyol.
Kekalahan itu menyaksikan Perancis kendalian Didier Deschamps, yang bakal mengakhiri tugasnya selepas 14 tahun membimbing pasukan, hanya akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga menentang pasukan yang tewas antara England dan Argentina.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








