PRN: Anwar yakin Tok Min mampu terus pimpin Negeri Sembilan
KUALA PILAH – Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin Datuk Seri Aminuddin Harun mampu meneruskan kepimpinan Negeri Sembilan selepas gabungan itu menampilkan beliau sebagai calon Menteri Besar sekiranya berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Perdana Menteri berkata, rakyat Negeri Sembilan perlu memberikan mandat kepada Aminuddin yang juga penyandang Menteri Besar untuk meneruskan agenda pembangunan negeri selain menyelesaikan isu berkaitan kepentingan rakyat.
Beliau berkata, kepimpinan Aminuddin sepanjang menerajui negeri sebelum ini membuktikan keupayaannya dalam memastikan pentadbiran berjalan dengan baik serta membawa manfaat kepada rakyat.
“Tok Min ada masalah, terus telefon. Negeri Sembilan tidak sepatutnya ada sekolah daif, hospital dan balai polis yang bermasalah. Semua ini adalah untuk rakyat Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan ke-16 di sini, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi PH, Anthony Loke berkata, Aminuddin merupakan satu-satunya calon Menteri Besar yang diketengahkan gabungan itu bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Beliau berkata, PH turun ke gelanggang pilihan raya kali ini dengan calon Menteri Besar yang jelas bagi memastikan rakyat mengetahui hala tuju pentadbiran negeri sekiranya diberikan mandat.
“Panglima kita ada seorang sahaja. Kita masuk ke gelanggang dengan calon Menteri Besar yang jelas,” katanya ketika berucap pada majlis sama.
Loke berkata, Aminuddin adalah pemimpin yang mempunyai rekod pentadbiran sejak PH menerajui Negeri Sembilan pada 2018.
Beliau berkata, kerajaan negeri di bawah pentadbiran PH sebelum ini berjaya mengekalkan kestabilan walaupun beberapa negeri lain berubah kerajaan selepas Langkah Sheraton.
“Kita sudah buktikan sejak 2018 bahawa PH boleh mentadbir Negeri Sembilan. Di bawah dasar PH, pelaburan dan pembangunan negeri meningkat,” katanya.
Loke turut menyeru jentera PH supaya bekerja sebagai satu pasukan dengan membawa mesej kesinambungan pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah.
Katanya, rakyat Negeri Sembilan kini mempunyai pilihan untuk mengekalkan kerajaan yang memberi tumpuan kepada pembangunan inklusif serta kebajikan semua kaum.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan sebanyak 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dipertandingkan dengan hari penamaan calon ditetapkan pada 18 Julai, pengundian awal pada 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








