BISNES & EKONOMI

Malaysia kekal penarafan kredit A3 dengan Tinjauan Stabil, Moody’s yakin prospek ekonomi kukuh

PUTRAJAYA – Malaysia mengekalkan penarafan kredit berdaulat mata wang asing dan tempatan jangka panjang pada A3 dengan Tinjauan Stabil selepas semakan berkala oleh Moody’s Ratings.

Menurut Kementerian Kewangan, ia sekali gus mencerminkan keyakinan agensi penarafan antarabangsa itu terhadap daya tahan ekonomi negara serta agenda reformasi fiskal Kerajaan MADANI.

Katanya, Moody’s menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang lebih pantas pada 2026 berbanding negara lain yang mempunyai penarafan setara, disokong oleh ekonomi yang pelbagai dan berdaya saing, prospek pertumbuhan jangka sederhana yang kukuh, sumber asli yang mencukupi serta simpanan domestik yang besar.

“Agensi itu turut berpandangan asas pelabur domestik yang kukuh terus menyokong keperluan pembiayaan kerajaan, sekali gus mengurangkan risiko kecairan dan memastikan kos pinjaman kekal pada tahap sederhana,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penilaian Moody’s mencerminkan ketahanan ekonomi Malaysia serta kemajuan yang dicapai dalam memperkukuh disiplin fiskal, menambah baik tadbir urus dan memperluaskan asas hasil negara.

Beliau berkata, agenda reformasi perlu diteruskan bagi memastikan pengurusan ekonomi yang berhemah diterjemahkan kepada peningkatan pendapatan rakyat, peluang pekerjaan yang lebih luas dan kesejahteraan yang lebih menyeluruh.

“Dalam suasana dunia yang masih diselubungi ketegangan geopolitik serta ketidaktentuan pasaran global, Malaysia mesti terus memelihara kestabilan domestik, kepastian dasar dan momentum reformasi bagi memperkukuh asas pertumbuhan negara,” katanya.

Moody’s turut mengiktiraf pembaharuan hasil yang dilaksanakan sejak 2023 telah berjaya memperluaskan asas cukai kerajaan serta menyokong usaha konsolidasi fiskal secara beransur-ansur walaupun kerajaan berdepan peningkatan subsidi tenaga dan perbelanjaan pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).

Selain itu, agensi berkenaan mengiktiraf kekuatan institusi eksekutif dan perundangan Malaysia, rekod penggubalan dasar makroekonomi yang berkesan, sistem pembiayaan domestik yang menggalakkan serta kestabilan makroekonomi yang menyeluruh.

Kementerian Kewangan memaklumkan petunjuk ekonomi negara turut menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila kadar pengangguran menurun kepada 2.9 peratus pada suku pertama 2026, iaitu paras terendah dalam tempoh lebih sedekad, dengan jumlah guna tenaga meningkat kepada 16.7 juta orang serta 48,500 peluang pekerjaan baharu diwujudkan.

Malaysia juga melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 daripada 70 ekonomi dalam IMD World Competitiveness Ranking 2026, selain mengekalkan kedudukan keempat dunia bagi prestasi ekonomi.

Dalam perkembangan berkaitan, nilai ringgit mengukuh 10.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat pada 2025, sekali gus muncul sebagai mata wang berprestasi terbaik di Asia bagi tahun tersebut.

Kerajaan MADANI menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kedudukan fiskal negara melalui peluasan asas hasil, peningkatan kecekapan perbelanjaan, pengukuhan ketelusan fiskal serta penyasaran subsidi yang lebih berkesan demi melindungi kebajikan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button