POLITIK

Anthony Loke tegaskan DAP junjung Perlembagaan, adat Negeri Sembilan

KUALA PILAH – Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anthony Loke menegaskan DAP sentiasa menjunjung Perlembagaan Persekutuan serta menghormati institusi Raja Berperlembagaan dan sistem adat Negeri Sembilan.

Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, semua wakil rakyat PH menzahirkan taat setia kepada institusi berkenaan dan tidak pernah mempersoalkan sistem yang diamalkan negeri itu.

“Saya ingatkan semua petugas sepanjang kempen, kita kena jaga tatasusila, jaga mulut. Jangan gunakan isu sistem adat untuk memainkan sentimen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran calon PH bagi PRN Negeri Sembilan yang turut dihadiri Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim
di sini malam tadi.

Beliau berkata, DAP tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan masyarakat Melayu, namun kerjasama itu mestilah berasaskan prinsip bersih, cekap dan amanah.

“Saya tidak ada masalah kerjasama dengan Melayu, tetapi kita mahu pemimpin Melayu yang bersih, cekap dan amanah,” katanya.

Pada masa sama, Loke mendakwa pihak lawan akan menggunakan sentimen perkauman dan isu berkaitan DAP sebagai taktik kempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, pihak lawan tidak mampu bersaing dari segi dasar dan pencapaian, sebaliknya akan memainkan persepsi dengan mengaitkan pelbagai isu kepada DAP.

“Mereka tidak bersaing dari segi dasar, pencapaian. Mereka akan gunakan sentimen DAP, semua salah DAP.

“Mereka akan kata krisis Undang di Negeri Sembilan disebabkan oleh Loke, disebabkan oleh DAP. Ini taktik kotor yang mereka akan mainkan, hujah palsu untuk memainkan sentimen,” katanya.

Dalam pada itu, Loke berkata, PH turut menolak politik perkauman dan menegaskan PH mahu membawa politik yang berteraskan harapan serta masyarakat majmuk.

Menurut beliau, kekuatan PH adalah sokongan semua kaum termasuk pengundi India yang memainkan peranan penting di beberapa kawasan.

“Kita mahu mempertahankan masyarakat majmuk dan membina negara yang lebih inklusif serta maju, bermula di Negeri Sembilan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button