Anwar ucap tahniah kepada BN, pikul mandat demi amanah
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan tahniah kepada Barisan Nasional (BN) kerana berjaya memenangi Pilihan Raya Negri (PRN) Johor ke-16 semalam.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, mandat yang diberikan itu perlu dipikul dengan penuh amanah demi kepentingan negeri dan rakyat Johor.
“Tahniah kepada BN atas mandat yang diberikan rakyat Johor. Semoga amanah ini dipikul dengan sebaik-baiknya demi kepentingan negeri dan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, pilihan raya telah pun berakhir dan kini tiba masanya semua pihak melangkah ke hadapan dengan memberi keutamaan kepada khidmat serta amanah kepada rakyat.
“Pilihan raya dan pesta demokrasi telah pun melabuhkan tirainya. Kini adalah masa untuk kita melangkah ke depan, mengutamakan khidmat dan amanah kepada rakyat serta bersama-sama membina sebuah Johor yang lebih makmur dan maju,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi Johor yang menunaikan tanggungjawab mereka, selain mengucapkan terima kasih kepada semua jentera parti yang bertungkus-lumus sepanjang kempen.
Dalam masa sama, beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, semua calon PH perlu terus memainkan peranan sebagai wakil rakyat kepada masyarakat walaupun tidak berjaya memenangi kerusi yang ditandingi.
“Tekad kami jelas, semua calon PH, tidak kira yang menang mahupun tewas, diminta untuk meneruskan khidmat membawa suara rakyat,” katanya.
Pada masa sama, Anwar memberi jaminan Kerajaan Persekutuan akan terus komited memperkukuh agenda pembangunan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat Johor.
Terdahulu, BN mencatat kemenangan dominan apabila menguasai 48 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, manakala baki lapan lagi kerusi dimenangi PH.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















