POLITIK

PRN Johor: Pengundi muda pertama kali tunaikan tanggungjawab, akui proses mengundi mudah, lancar

JOHOR BAHRU – Pengalaman pertama menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi menjadi detik bermakna buat beberapa anak muda yang hadir ke Pusat Mengundi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai, di sini, sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16, hari ini.

Pelajar Matrikulasi Johor, Nur Aina Najwa Mohamad Zubir, 19, berkata, beliau sanggup pulang bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi walaupun perlu menguruskan komitmen sebagai pelajar.

Katanya, peluang pertama kali mengundi memberikan pengalaman baharu kerana dapat terlibat secara langsung dalam proses memilih pemimpin negeri.

“Sebagai anak muda, kita perlu gunakan hak mengundi yang diberikan. Ini adalah tanggungjawab kita untuk memilih pemimpin yang boleh membawa perubahan lebih baik,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune selepas mengundi di Pusat Mengundi SMK Skudai di sini hari ini.

Nur Aina menambah, pengalaman pertama mengundi membuka mata beliau mengenai kepentingan penyertaan golongan muda dalam proses demokrasi.

Katanya, walaupun tidak pernah bertemu mana-mana calon bertanding, beliau tetap membuat pilihan berdasarkan pertimbangan sendiri.

“Saya rasa anak muda perlu ambil tahu tentang keadaan semasa dan gunakan hak yang ada untuk memilih pemimpin terbaik,” katanya.

Sementara itu, bagi pekerja swasta, Nur Alya Nasuha Mohamad Zubir, 20, beliau mengakui berasa sedikit gementar ketika tiba di pusat mengundi kerana ia merupakan pengalaman pertamanya, namun katanya, proses pengundian berjalan lancar dan mudah tanpa sebarang kesulitan.

“Agak gementar sikit sebab ini kali pertama, tetapi prosesnya sangat mudah. Hanya perlu ambil kad pengenalan, masuk ke pusat mengundi dan semuanya berjalan seperti biasa.

“Saya berharap kerajaan yang dipilih selepas ini dapat menjalankan tugas dengan amanah, jujur dan bertanggungjawab terhadap rakyat. Jangan duduk di rumah sahaja. Pilihlah pemimpin yang bertanggungjawab,” katanya.

pengundi
Sayangku Ellyxandria Amirudin Shah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi di Pusat Mengundi SMK Skudai. – Foto Najmi Zulkefle/Malaysia Tribune

Bagi Sayangku Ellyxandria Amirudin Shah, 18, yang baru selesai menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini menunggu keputusan peperiksaan, pengalaman pertama mengundi disifatkan sebagai sesuatu yang mengujakan walaupun sedikit gementar pada awalnya.

Katanya, beliau pada mulanya menyangka proses pengundian akan mengambil masa lama, namun terkejut apabila semuanya berjalan dengan pantas dan mudah.

“Pada awalnya memang rasa sedikit gugup, tetapi proses semuanya cepat. Lebih kurang lima minit sahaja sudah selesai.

“Sebelum datang saya ingatkan kena buat banyak perkara, tetapi rupanya mudah sahaja. Selepas ini saya akan datang mengundi lagi kerana ini adalah tanggungjawab sebagai rakyat,” ujarnya.

pengundi
Mohd Tahir Yunus.

Dalam pada itu, pengundi veteran, Mohd Tahir Yunus, 71, berkata, beliau tidak pernah meninggalkan tanggungjawab mengundi sejak lebih 20 tahun lalu.

Katanya, PRN Johor kali ini merupakan kali keempat beliau menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi dan berharap kerajaan yang dipilih dapat membawa negeri kembali ke kedudukan lebih baik.

“Saya harap keadaan selepas ini lebih baik dan tidak memberi tekanan kepada rakyat. Pemimpin yang dipilih perlu menjaga kebajikan rakyat serta menjalankan amanah diberikan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button