BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: MCMC terima 29 aduan berita palsu, ucapan kebencian sepanjang kempen

KULAI – Sebanyak 29 aduan berkaitan penyebaran berita palsu, ucapan kebencian dan penipuan diterima Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sepanjang tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang berlangsung dari 1 Jun hingga 9 Julai lalu.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, daripada jumlah itu, 17 aduan membabitkan penyebaran berita palsu, diikuti 11 aduan berkaitan ucapan kebencian berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja), manakala satu lagi kes melibatkan penipuan termasuk penggunaan akaun palsu dan penyamaran.

Menurutnya, semua aduan yang diterima telah disalurkan kepada platform media sosial berkaitan untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Semua aduan yang diterima telah disalurkan kepada platform media sosial untuk tindakan lanjut mengikut prosedur yang ditetapkan,” katanya memetik Sinar Online.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menunaikan tanggungjawab mengundi bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Batu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar di sini pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Nie Ching berkata, daripada 11 aduan berkaitan ucapan kebencian berunsur 3R, sembilan kes melibatkan isu perkauman, manakala masing-masing satu kes berkaitan agama dan institusi diraja.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai agar lebih berhati-hati dalam menerima dan menyebarkan maklumat, khususnya sepanjang proses pilihan raya.

“Saya menyeru kepada pengundi jangan terpedaya dengan berita-berita palsu ataupun kenyataan yang berunsur benci.

“Jadilah seorang netizen yang celik digital dan gunakan kuasa kita sebagai seorang pengundi dengan bijaksana,” katanya.

Terdahulu, Nie Ching melalui hantaran Facebook memaklumkan sudah menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Pagi ini saya telah menunaikan tanggungjawab dan mengundi di SJKC Kulai Besar.

“Undi anda amat bermakna. Jika belum mengundi, jangan lupa keluar mengundi dan tunaikan tanggungjawab sebagai rakyat,” tulisnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button