BERITA SEMASA

Kadar kes denggi meningkat 34.8 peratus

PUTRAJAYA – Kadar kes denggi di seluruh negara menunjukkan peningkatan sebanyak 34.8 peratus bagi tahun ini, dengan 42,848 kes dilaporkan sehingga semalam, berbanding 31,790 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, angka kematian akibat denggi turut meningkat sebanyak 78.9 peratus kepada 34 kematian, berbanding 19 kematian yang direkodkan dalam tempoh sama pada 2025.

Menurut analisis epidemiologi, hampir dua pertiga atau 63.5 peratus daripada keseluruhan kes di seluruh negara tertumpu di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Selangor merekodkan 19,313 kes, meningkat 43.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu, manakala Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan 7,909 kes, iaitu peningkatan sebanyak 83.8 peratus.

Peningkatan kes turut direkodkan di Johor, Sabah, Negeri Sembilan, Perak, Sarawak, Perlis, Terengganu dan Labuan.

“Lembah Klang kekal menjadi kawasan panas utama denggi di negara ini dan memerlukan langkah kawalan yang lebih intensif serta bersepadu,” kata KKM dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Walaupun beberapa negeri mencatatkan penurunan kes berbanding tempoh sama tahun lalu, keadaan itu tidak seharusnya menimbulkan rasa selesa kerana situasi boleh berubah dengan cepat bergantung kepada faktor epidemiologi, persekitaran dan cuaca.

Menurut KKM, peningkatan kes yang berlaku adalah selaras dengan corak epidemiologi kitaran denggi, di mana negara endemik lazimnya mengalami wabak besar setiap tiga hingga lima tahun.

“Lonjakan berkala itu dipengaruhi pelbagai faktor termasuk perubahan tahap imuniti penduduk, pertukaran serotip dominan virus denggi, selain faktor cuaca seperti hujan, suhu dan kelembapan yang menggalakkan pembiakan serta kelangsungan hidup nyamuk Aedes.

“Faktor lain yang turut menyumbang ialah urbanisasi pesat, pergerakan penduduk, keadaan persekitaran, bekas takungan air yang menjadi lokasi pembiakan nyamuk, liputan program kawalan vektor serta tahap penyertaan masyarakat,” katanya lagi.

KKM berkata, pihaknya akan terus memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan menerusi pendekatan seluruh negara di bawah rangka kerja Pengurusan Vektor Bersepadu, termasuk meningkatkan pemantauan penyakit dan entomologi, pengesanan awal wabak, kawalan vektor, komunikasi risiko, pemerkasaan komuniti, penguatkuasaan undang-undang serta pemantauan berterusan.

Pada masa sama, orang ramai, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan, institusi pendidikan, majikan dan sektor swasta diseru menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, melaksanakan gotong-royong secara berkala serta mendapatkan rawatan awal sekiranya mengalami gejala denggi.

“KKM akan meneruskan pemantauan situasi semasa dengan rapi dan mempergiatkan langkah kawalan bagi membendung penularan penyakit, mencegah komplikasi serta melindungi kesihatan awam,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button