
Jumlah kes denggi sedikit menurun daripada minggu terdahulu
PUTRAJAYA – Jumlah kes demam denggi yang dilaporkan di negara ini pada Minggu Epidemiologi ke-17 (ME-17) tahun ini berkurangan 84 kes iaitu sebanyak 2,237 kes berbanding 2,321 kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan turut berkata, dalam tempoh ME-17 iaitu antara 21 hingga 27 April, tiada kes kematian akibat demam denggi dilaporkan.
“Kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga Minggu Epidemiologi ke-17 adalah sebanyak 52,887 kes berbanding 36,977 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
“Manakala terdapat 39 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 22 kematian bagi tempoh sama pada tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Dr Muhammad Ramzi, bilangan lokaliti hotspot denggi yang dilaporkan pada ME-17 adalah sebanyak 63 lokaliti berbanding 80 lokaliti pada minggu sebelumnya.
“Daripada jumlah itu, 51 lokaliti dikenal pasti di Selangor, empat lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, tiga lokaliti di Pulau Pinang, masing-masing dua lokaliti Perak dan Kedah serta satu lokaliti di Sarawak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, Dr Muhammad Radzi memaklumkan, tiada kes dan tiada wabak chikungunya direkodkan pada Minggu Epidemiologi berkenaan, dengan jumlah kes direkodkan setakat ini adalah sebanyak 23 kes.
“Bagi survelan zika, sebanyak 850 sampel darah dan enam sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif,” katanya lagi.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan kendiri dengan memakai pakaian berwarna cerah, baju berlengan panjang dan berseluar panjang serta menggunakan produk penghalau nyamuk (repelan) bagi melindungi diri daripada gigitan nyamuk Aedes.
Selain itu, elakkan berada di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes iaitu pada awal pagi dan lewat petang, dan lakukan aktiviti semburan aerosol bagi membunuh nyamuk dewasa yang bersembunyi di dalam rumah.
“Orang ramai juga boleh menyemak status wabak atau hotspot denggi bagi destinasi yang dituju melalui laman sesawang iDengue (https://idengue.mysa.gov.my) sebagai langkah berjaga-jaga dan seterusnya mengambil tindakan proaktif untuk mengelak terkena jangkitan.
“Tiada Aedes, tiada denggi, chikungunya dan zika,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








