POLITIK

Bantuan terus ke akaun, rakyat Johor tidak perlu beratur – Maszlee

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) berjanji menyalurkan bantuan kebajikan terus ke akaun penerima tanpa perlu rakyat beratur panjang sekiranya diberi mandat membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Calon PH bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik berkata, pendekatan itu penting bagi memelihara maruah dan harga diri rakyat Johor, selain memastikan bantuan disampaikan dengan lebih cekap.

Katanya, PH tidak mahu penerima bantuan terpaksa menunggu lama atau beratur di bawah cuaca panas semata-mata untuk mendapatkan bantuan kerajaan.

“Kalau Pakatan Harapan diberikan mandat untuk memerintah Johor, kita tidak akan biarkan ibu bapa, datuk, nenek, pak cik dan mak cik beratur panjang-panjang mengambil bantuan Kasih Johor kerana rakyat Johor ada maruah.

“Kita belajar daripada Selangor. Bantuan boleh dimasukkan terus ke dalam akaun. Tidak perlu beratur panjang-panjang dan menunggu di bawah panas untuk mengambil bantuan.

“Rakyat ialah tuan, rakyat bukan hamba,” katanya ketika berucap pada Program Grand Finale Harapan Johor Selatan di Taman Pelangi Indah, di sini malam tadi.

Maszlee berkata, PH turut menawarkan calon yang berintegriti dan komited berkhidmat kepada rakyat sekiranya diberi kepercayaan mentadbir negeri.

Katanya, wakil rakyat PH tidak akan terbabit dengan rasuah dan akan bekerja siang serta malam bagi menyelesaikan masalah rakyat.

“Pakatan Harapan memberikan calon-calon terbaik untuk menjadi wakil rakyat. Kita akan pastikan wakil rakyat kita tidak akan mengambil rasuah dan akan bekerja pagi, petang, siang dan malam untuk rakyat,” katanya.

Beliau turut menggesa pengundi Johor, termasuk yang bekerja di Singapura, supaya pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian bagi menentukan masa depan negeri.

“Keluarlah mengundi, ajak rakan-rakan, anak-anak dan saudara-mara yang berada di Singapura supaya pulang mengundi dan memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button