PRN Johor penentu kestabilan politik negara, kata Suhaizan
JOHOR BAHRU – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai medan penting dalam menentukan hala tuju kestabilan politik negara serta sokongan rakyat terhadap kerjasama yang diwujudkan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Suhaizan Kayat berkata, pembentukan kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan mampu memberikan impak positif kepada pembangunan serta kestabilan politik negara.
Menurutnya, pengundi memainkan peranan penting dalam memastikan hasrat tersebut dapat direalisasikan menerusi PRN Johor kali ini.
“Kita mahukan kerajaan negeri yang selari dengan Kerajaan Persekutuan dan bagi menjayakan misi ini, kita memerlukan sokongan serta undian daripada rakyat.
“PRN Johor kali ini secara tidak langsung boleh menentukan landskap politik negara di peringkat Persekutuan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir calon PH DUN Stulang, Andrew Chen Kah Eng; calon DUN Perling, Alan Tee Boon Tsong; calon DUN Tiram, Norlaili Abd Ghani; calon DUN Skudai, Kartiyaini Jeyapalan dan calon DUN Johor Jaya, Lee Wern Yiing.
Suhaizan yang juga Ahli Parlimen Pulai berkata, sekiranya Johor berjaya membentuk sebuah kerajaan yang stabil berasaskan konsep kesepaduan seperti di peringkat Persekutuan, ia akan memberikan gambaran positif terhadap pentadbiran negara.
“Jika dapat mewujudkan sebuah kerajaan yang stabil dan mempunyai konsep kesepaduan seperti di peringkat Persekutuan, ia akan memberi limpahan serta gambaran yang baik kepada Kerajaan Persekutuan.
“Sebaliknya, jika berlaku keadaan yang tidak stabil, kita bimbang ia boleh memberi kesan terhadap persepsi rakyat terhadap kestabilan politik negara,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menggesa semua pengundi yang layak supaya keluar mengundi pada Sabtu ini bagi memastikan mandat rakyat dapat diterjemahkan menerusi proses demokrasi.
Beliau turut merayu pengundi yang berada di luar Johor supaya pulang mengundi dan merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.
Menurutnya, pengundi yang mempunyai pandangan atau ketidakpuasan hati terhadap parti politik boleh menyampaikan mesej mereka melalui peti undi, namun kestabilan politik negeri dan negara perlu terus dipelihara.
“Mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan apa yang berlaku sebelum ini dan kita memahami mesej yang mahu disampaikan rakyat.
“Bagaimanapun, gunakan peluang pada PRN Johor ini untuk memastikan kestabilan politik dapat dikekalkan seperti yang sedang dibina menerusi Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















