Polis tahan 6 lelaki Rohingya samun gudang
MELAKA – Polis menaham enam lelaki Rohingya yang dipercayai menyamun sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang, bulan lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, suspek berusia antara 18 hingga 38 tahun itu ditahan Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka dalam Op Kargo di sekitar Kajang, Selangor, 19 Jun lalu.
Beliau berkata, siasatan mendapati, kejadian samun itu berlaku pada pukul 2 pagi, 15 Jun lalu apabila sekumpulan lelaki dipercayai warga asing menceroboh sebuah gudang penyimpanan barangan pembinaan di Sungai Udang.
“Suspek mengikat tangan dan kaki pengawal keselamatan sebelum melarikan aluminium formwork yang disimpan di gudang berkenaan.
“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan kira-kira RM200,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil risikan dan maklumat yang diperoleh membawa kepada pelancaran Op Kargo sebelum enam lelaki etnik Rohingya itu berjaya diberkas.
Katanya, polis turut merampas dua lori, tiga guni bongkah aluminium serta dua salinan resit jualan barangan lusuh bernilai RM27,440 dan RM101,816 yang dipercayai mempunyai kaitan dengan hasil samun berkenaan.
“Semua suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Ayer Keroh esok bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun secara berkumpulan,” katanya lagi.
Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta sebatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















