POLITIK

Calon PH tekad bawa limpahan ekonomi Pengerang ke Tanjung Surat

KOTA TINGGI – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Surat, Faizul Abdul Ghani menggariskan tujuh teras utama yang memberi tumpuan kepada kebajikan nelayan, generasi kedua FELDA serta memastikan limpahan pembangunan Pengerang benar-benar dinikmati penduduk tempatan.

Beliau berkata, tujuh teras itu bukan sekadar manifesto Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, sebaliknya pelan tindakan yang dirangka berdasarkan keperluan dan suara rakyat Tanjung Surat.

Menurutnya, beliau menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa mendengar suara masyarakat, memperjuangkan keperluan penduduk serta memastikan setiap pembangunan membawa manfaat kepada komuniti setempat.

“Saya menawarkan diri untuk menjadi wakil rakyat yang sentiasa mendengar suara masyarakat, memperjuangkan keperluan rakyat dan memastikan setiap pembangunan yang berlaku memberi manfaat kepada penduduk tempatan.

“Saya membawa tekad ‘Tanjung Surat Nadi Negara, Yang Tersirat Kini Tersurat’,” katanya dalam sidang akhbar semalam.

Faizul berkata, Tanjung Surat bukan sekadar kawasan pesisir, malah menjadi nadi penting yang menghubungkan komuniti nelayan, kawasan FELDA, kampung tradisi dan pembangunan pesat di Pengerang.

Katanya, sudah tiba masanya potensi besar kawasan itu diterjemahkan kepada peluang ekonomi dan kesejahteraan yang benar-benar dirasai rakyat.

Beliau berkata, teras pertama memberi tumpuan kepada usaha membela nasib nelayan menerusi sistem pelesenan yang lebih adil dan telus, menaik taraf kemudahan jeti serta pengkalan nelayan, selain memperjuangkan kerja pendalaman sungai dan muara secara berkala.

Menurutnya, nelayan juga perlu mendapat akses lebih baik kepada bantuan peralatan, teknologi dan skim sokongan ketika musim tengkujuh, di samping memperkukuhkan pemasaran hasil laut bagi meningkatkan pendapatan mereka.

Faizul berkata, generasi kedua dan ketiga FELDA turut menjadi antara keutamaan menerusi usaha memperjuangkan penyelesaian isu perumahan, memperluaskan peluang latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta menyokong pembangunan ekonomi FELDA supaya anak peneroka mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan dan keusahawanan.

Beliau berkata, pembangunan pesat di Pengerang juga perlu memberi manfaat kepada penduduk tempatan melalui penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan, penubuhan Pusat Kerjaya Tanjung Surat serta penglibatan usahawan tempatan dalam rantaian bekalan industri.

Selain itu, beliau berhasrat memperjuangkan penambahbaikan infrastruktur termasuk penyelenggaraan jalan raya, jambatan, sistem saliran, lampu jalan, kemudahan awam serta capaian internet yang lebih stabil di kampung, kawasan FELDA dan pesisir.

Faizul turut memberi perhatian kepada usaha meningkatkan ekonomi peneroka, peniaga kecil dan usahawan mikro melalui latihan, pemasaran digital, pembangunan produk hiliran, koperasi serta akses kepada pelbagai program bantuan kerajaan.

Katanya, beliau juga menyokong pelaksanaan program seperti Jualan Rahmah bagi membantu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.

Dalam pada itu, beliau mahu potensi eko pelancongan, warisan dan kampung pesisir diperkasakan melalui pembangunan produk pelancongan komuniti seperti homestay, makanan laut, paya bakau dan budaya kampung tanpa menjejaskan identiti serta alam sekitar.

Beliau berkata, aspek kebajikan rakyat, pendidikan, belia dan wanita turut diberi penekanan menerusi sistem kebajikan yang lebih tersusun, Dana Pendidikan Anak Tanjung Surat, latihan kemahiran, ekonomi digital serta peluang keusahawanan kepada golongan wanita.

“Tujuh teras ini bukan sekadar manifesto pilihan raya, tetapi merupakan pelan tindakan yang dibina berdasarkan suara rakyat Tanjung Surat sendiri.

“Sebagai Ahli Dewan Negeri, saya akan menjadi penghubung yang berkesan antara rakyat, Kerajaan Negeri Johor dan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap isu diperjuangkan dan setiap peluang pembangunan dibawa pulang kepada kawasan ini.

“Saya percaya Tanjung Surat mempunyai segala kekuatan untuk muncul sebagai sebuah kawasan yang maju, makmur dan berdaya saing. Dengan kerjasama semua pihak, kita mampu memastikan pembangunan industri, ekonomi pesisir, FELDA dan komuniti bergerak seiring tanpa ada yang tercicir.

“Justeru, saya memohon sokongan dan kepercayaan seluruh warga Tanjung Surat untuk bersama-sama membina masa depan yang lebih baik,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button