PH fokus selesai aduan rakyat, isu bandar jika menang di Larkin – Suhaizan
JOHOR BAHRU – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Larkin, Suhaizan Kayat, berjanji memberi tumpuan kepada penyelesaian aduan rakyat dan isu-isu bandar dalam tempoh 100 hari pertama sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau, antara keutamaan yang akan dilaksanakan ialah memproses aduan penduduk yang diterima sepanjang tempoh kempen, selain menangani pelbagai isu setempat yang memberi kesan langsung kepada kehidupan rakyat.
“Kita telah menerima antara 30 hingga 50 aduan daripada penduduk setakat ini. Perkara pertama yang akan dilakukan ialah mengumpulkan dan memproses semua aduan tersebut.
“Selain itu, isu-isu bandar akan menjadi fokus utama seperti masalah perumahan, jalan raya, peniaga, golongan muda serta beberapa perkara lain yang sering dibangkitkan oleh masyarakat,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
Suhaizan turut menggesa pengundi muda dan mereka yang pertama kali mengundi supaya menggunakan hak demokrasi dengan sebaiknya serta membuat pilihan berdasarkan kemampuan calon dan parti yang bertanding.
Menurutnya, proses mengundi bukan sekadar tanggungjawab biasa, sebaliknya satu amanah penting bagi menentukan masa depan negeri dan negara.
“Pilihan raya adalah peluang untuk rakyat memilih kepimpinan terbaik. Ini bukan perkara yang boleh dipandang ringan.
“Bagi mereka yang pertama kali mengundi, ambillah masa untuk menilai calon dan parti yang bertanding sebelum membuat keputusan demi masa depan bersama,” katanya lagi.
Mengulas isu pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan, Suhaizan berpendapat langkah tersebut sepatutnya digantikan dengan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi memastikan setiap wakil rakyat mempunyai kawasan dan pengundi yang jelas untuk diwakili.
“Wakil rakyat yang dipilih menerusi pilihan raya bertanggungjawab secara langsung kepada pengundi, manakala ADUN lantikan pula lebih cenderung untuk bertanggungjawab kepada pihak yang melantik mereka.
“Wakil rakyat yang dipilih perlu mendengar dan mengikuti kehendak pengundi kerana mereka mempunyai kawasan yang diwakili.
“Sebaliknya, jika seseorang itu dilantik tanpa kawasan dan pengundi, timbul persoalan siapa yang sebenarnya diwakili. Akhirnya mereka lebih terikat kepada pihak yang melantik mereka berbanding rakyat,” katanya lagi.
Dalam perkembangan sama, beliau mendakwa terdapat petunjuk wujud kerjasama tidak langsung antara PAS dan Barisan Nasional (BN) apabila parti itu tidak meletakkan calon di beberapa kawasan pada PRN kali ini.
“Saya melihat memang ada usaha ke arah itu. Mungkin ia tidak dilakukan secara terbuka, tetapi terdapat kerjasama yang berlaku secara tidak langsung.
“Malah kenyataan pemimpin PAS yang menyatakan sokongan kepada UMNO dan BN memberi gambaran bahawa perkara itu adalah hasil perbincangan yang telah berlangsung sebelum ini. Jika dahulu tidak begitu jelas, kali ini ia kelihatan lebih nyata,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















