POLITIK

Mohamad Yazid sambut baik sokongan Puad Zarkashi, beri kesan positif kempen PH di DUN Rengit

BATU PAHAT – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Mohamad Yazid Bakri menyifatkan sokongan terbuka bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi sebagai perkembangan positif kepada kempen beliau pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau berkata, pengumuman sokongan itu memberikan kesan kepada suasana kempen termasuk berkemungkinan mempengaruhi pengundi atas pagar untuk mempertimbangkan semula pilihan mereka.

Katanya, meskipun setiap parti mempunyai kelompok pengundi tegar, sokongan daripada tokoh setempat mampu memberi impak kepada perubahan sokongan di peringkat akar umbi.

“Saya rasa amat terkejut dengan kenyataan tersebut. Ia sedikit sebanyak memberi kesan, mungkin kepada penyokong beliau sendiri dan juga pengundi atas pagar,” katanya ketika ditemui Malaysia Tribune di sini hari ini.

Baca juga : Status calon tempatan PH di DUN Rengit jadi kekuatan Mohamad Yazid

Menurutnya, sokongan itu turut memberi kelebihan kepada jentera PH dalam usaha meyakinkan pengundi menjelang hari pengundian.

Dalam pada itu, beliau berkata pengundi awal khususnya anggota polis di kawasan berkenaan turut diharap memberikan sokongan berdasarkan hubungan baik yang terjalin sebelum ini.

Katanya, pengalaman beliau yang pernah menerima pengiktirafan pada Hari Polis sebelum ini menjadi antara faktor yang mengukuhkan hubungan baik dengan pihak berkuasa.

“Saya mohon sokongan anggota polis kerana hubungan saya dengan mereka tidak ada masalah,” katanya.

Mohamad Yazid berkata, kempen PH di Rengit juga bergerak atas dasar kerjasama parti komponen dan keputusan kepimpinan tertinggi yang meletakkan beliau sebagai calon di kawasan berkenaan.

Beliau turut menegaskan isu perkauman tidak lagi relevan di peringkat akar umbi kerana masyarakat kini lebih mengutamakan kerjasama dan ekonomi berbanding sentimen kaum.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button