Johor utara perlu jadi fokus pembangunan baharu negeri – MP Segamat
SEGAMAT – Ahli Parlimen Segamat, Yuneswaran Ramaraj menggesa kerajaan memberi tumpuan lebih besar kepada pembangunan Johor utara yang menurutnya telah sekian lama ketinggalan berbanding kawasan selatan negeri.
Beliau berkata, pembangunan Johor selama ini dilihat lebih tertumpu di Johor Bahru dan kawasan sekitarnya, sedangkan daerah di utara seperti Segamat, Tangkak dan Muar turut memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada ekonomi negeri dan negara.
Menurutnya, kemajuan sesebuah negeri tidak seharusnya diukur semata-mata melalui pembangunan fizikal atau angka Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), sebaliknya perlu dinilai berdasarkan kemampuan rakyat di semua daerah menikmati peluang pekerjaan, pelaburan, infrastruktur berkualiti dan taraf hidup yang lebih baik.
“Johor utara telah terlalu lama ketinggalan. Anak-anak muda terpaksa berhijrah ke Johor Bahru, Kuala Lumpur atau Singapura kerana kekurangan peluang pekerjaan di tempat sendiri.
“Ramai usahawan pula berdepan kos logistik yang tinggi sehingga menjejaskan daya saing perniagaan mereka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Sehubungan itu, beliau menyambut baik langkah Kementerian Pengangkutan di bawah pimpinan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengaktifkan semula Segamat Inland Port (SIP) yang disifatkannya sebagai pemangkin kepada kebangkitan ekonomi Johor utara.
Beliau berkata, pengoperasian SIP bukan sekadar melibatkan pembukaan sebuah terminal logistik, tetapi berpotensi menjadi pemacu pertumbuhan baharu khususnya bagi industri perabot yang tertumpu di Muar dan kawasan sekitarnya.

Menurut Yuneswaran, pelaksanaan konsep Road-to-Rail melalui SIP dijangka dapat mengurangkan kos logistik, mempercepatkan penghantaran dan menarik lebih banyak syarikat untuk menjadikan Johor Utara sebagai lokasi operasi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pembangunan Johor utara tidak boleh bergantung kepada SIP semata-mata, sebaliknya memerlukan pendekatan pembangunan menyeluruh.
Antara cadangan yang dikemukakan beliau ialah pengoperasian penuh SIP sebagai hab logistik utama negara, penyempurnaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB), pelaksanaan perkhidmatan ETS hingga ke Johor Bahru, serta pelebaran dan penaiktarafan jalan utama termasuk laluan Tangkak-Segamat.
Selain itu, beliau turut mencadangkan pembangunan kawasan perindustrian baharu, pembinaan lebih banyak rumah mampu milik, pelaburan lebih besar dalam sektor pertanian moden dan industri berasaskan agro, serta pemerkasaan sektor pertanian di Segamat.
Yuneswaran turut mencadangkan agar potensi Segamat diberi perhatian khusus dalam rangka pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Beliau percaya Johor utara mempunyai segala kelebihan untuk muncul sebagai koridor pertumbuhan baharu negara berdasarkan kedudukan strategik, sumber pertanian, tenaga kerja dan potensi logistik yang dimilikinya.
“Jika Johor selatan menjadi pintu masuk antarabangsa, maka Johor utara perlu menjadi pintu pertumbuhan baharu yang menghubungkan sektor pertanian, pembuatan, logistik dan perdagangan,” katanya.
Tegasnya, sebagai Ahli Parlimen Segamat, beliau akan terus membawa suara rakyat Johor utara ke peringkat Parlimen, kementerian berkaitan dan kerajaan negeri bagi memastikan pembangunan yang lebih seimbang dapat direalisasikan.
“Tuntutan ini bukan soal politik semata-mata, tetapi soal keadilan pembangunan, masa depan generasi muda dan memastikan kemajuan Johor dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira lokasi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















