Pemain bola sepak maut disambar petir ketika perlawanan persahabatan
ALOR GAJAH – Seorang pemain bola sepak berusia 28 tahun meninggal dunia selepas dipercayai disambar petir ketika beraksi dalam satu perlawanan persahabatan di Padang Kompleks Rakan Muda Lendu, di sini petang semalam.
Dalam kejadian pada pukul 5.40 petang itu, mangsa, R Thanesh disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan Hospital Alor Gajah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Ahmad Abu Bakar berkata, pihak polis menerima maklumat berhubung kejadian itu dari pihak hospital pada pukul 8.50 malam selepas seorang lelaki dibawa dalam keadaan tidak sedarkan diri kerana dipercayai disambar petir.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati mangsa menyertai perlawanan persahabatan antara Rembau Indian Veteran FC dan Tanjung Minyak FC yang bermula pada pukul 5.30 petang.
“Kira-kira 10 minit selepas perlawanan bermula, hujan renyai mula turun dan kedengaran satu dentuman guruh yang kuat. Rakan mangsa kemudian mendapati mangsa bersama dua lagi individu rebah di atas padang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Alor Gajah menggunakan kenderaan awam dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan.
Menurut Ahmad, seorang pengadil perlawanan turut terlibat dalam kejadian itu dan dihantar ke hospital dengan ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Hasil pemeriksaan awal pada tubuh mangsa tidak menemukan sebarang unsur jenayah. Bagaimanapun, terdapat kesan terbakar pada bahagian jari kaki hingga ke paha kiri.
“Mangsa juga mengalami kesan melecur pada bahagian bawah perut sebelah kiri, selain kesan kehitaman di bahagian belakang badan hingga ke paras punggung serta pendarahan pada telinga kanan,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) dan siasatan lanjut masih dijalankan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















