Ronaldo akui bukan lagi di kemuncak prestasi, sedia bawa Portugal lakar kejutan
ARLINGTON – Kapten Portugal, Cristiano Ronaldo mengakui beliau bukan lagi pemain seperti ketika berada di kemuncak prestasi, namun menegaskan kritikan yang diterimanya sejak lebih dua dekad lalu tidak pernah melemahkan semangat untuk terus beraksi di pentas tertinggi.
Menjelang aksi pusingan 16 terbaik Piala Dunia menentang Sepanyol, penyerang berusia 41 tahun itu berkata, beliau sudah lali berdepan pelbagai kecaman sejak memulakan karier profesional dan akan terus memainkan peranan bersama skuad Portugal selagi khidmatnya diperlukan.
“Saya bukan lagi pemain seperti dahulu, tetapi saya juga tidaklah seteruk yang diperkatakan,” katanya.
Ronaldo tampil cemerlang pada kempen Piala Dunia kali ini apabila meledak tiga gol, termasuk dua ketika Portugal membelasah Uzbekistan 5-0 pada aksi peringkat kumpulan serta satu menerusi sepakan penalti ketika menewaskan Croatia 2-1 pada pusingan 32 terbaik.
Menurut bekas bintang Manchester United, Real Madrid dan Juventus itu tumpuannya ketika ini hanyalah untuk membantu Portugal melangkah lebih jauh dalam kejohanan dan bukannya melayan spekulasi mengenai masa depannya.
“Sudah 23 tahun anda semua cuba ‘membunuh’ saya, tetapi ia tidak berhasil. Ia hanya membuang masa kerana saya sudah biasa dengan semua itu,” katanya.
Beliau berkata, kritikan yang diterima selepas usianya mencecah 40 tahun menjadikannya lebih matang, malah menganggap setiap kecaman sebagai sebahagian daripada perjalanan untuk terus berkembang sebagai seorang pemain.
Mengulas pertemuan menentang Sepanyol, Ronaldo mengakui Portugal bukan pasukan pilihan, namun percaya skuad kendalian mereka mampu melakar kejutan sekiranya beraksi dengan penuh keyakinan, keberanian dan semangat juang tinggi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















