Lelaki keluar tangkap ketam ditemukan lemas
DUNGUN – Seorang lelaki yang dilaporkan hilang selepas keluar menangkap ketam nipah di kawasan paya di Kampung Tebing Tembah, Paka, dekat sini semalam, ditemukan lemas pagi tadi.
Mayat Mohd. Afiq Ahmad, 36, ditemukan pada pukul 7.21 pagi oleh pasukan penyelamat selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Abang ipar mangsa, Mohd. Hafis A. Talib berkata, Allahyarham yang menetap di Kampung Mengabang Lekor, Batu Rakit bersama ibunya telah datang ke rumahnya di Kampung Tebing Tembah sejak tiga minggu lalu.
Menurutnya, mangsa keluar bersendirian untuk menangkap ketam kira-kira pukul 10 pagi semalam, namun tidak pulang sehingga lewat petang.
“Selepas pukul 5 petang dia masih belum pulang, saya bersama beberapa rakan terus mencarinya di sekitar kawasan paya.
“Saya bimbang kerana arwah mempunyai penyakit sawan. Kami mencari di beberapa lokasi, namun gagal menemuinya,” katanya kepada buletin Tv3 di Unit Forensik Hospital Dungun, hari ini.
Beliau berkata, selepas usaha mencari tidak berhasil, laporan polis dibuat kira-kira pukul 11 malam sebelum operasi SAR dilancarkan.
“Awal pagi ini saya menerima berita sedih apabila pasukan penyelamat memaklumkan mayat adik ipar saya telah ditemukan,” katanya.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Paka, Irwan Rashid berkata, seramai tujuh anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi SAR.
Katanya, pencarian tertumpu di kawasan paya berdasarkan maklumat yang diberikan oleh ahli keluarga mangsa.
“Mangsa akhirnya ditemukan dalam keadaan tidak bernyawa sebelum mayatnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Mayat kemudian dibawa ke Hospital Dungun bagi menjalani proses bedah siasat,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















