POLITIK

PRN Negeri Sembilan: KJ tidak kejar jadi calon

SEREMBAN – Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara peribadi mengakui lebih selesa berperanan sebagai jentera parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan akan datang daripada menjadi calon.

Kata Khairy atau lebih dikenali sebagai KJ, keadaan itu membolehkannya bergerak lebih bebas membantu kempen di setiap kawasan, bukannya tertumpu kepada satu kawasan saja.

Memetik laporan SH Online, beliau bagaimanapun berkata, ia tertakluk kepada keputusan pucuk pimpinan parti.

“Sebarang keputusan berkaitan dengan pemilihan calon ini adalah di bawah Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Jadi kita jangan mendahului keputusan daripada pucuk pimpinan.

“Tapi saya secara peribadi lebih suka menjadi jentera biasa untuk PRN Negeri Sembilan, bukannya calon kerana saya pun baru saja kembali menyertai UMNO,” katanya ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Seremban, di sini hari ini.

Khairy dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein menyertai semula UMNO April lalu, setelah dipecat dan digantung daripada parti.

Beliau sebelum ini menyandang kerusi Parlimen Rembau selama tiga penggal sebelum memberi laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk bertanding.

Dalam pada itu, Khairy berpendapat, melihat situasi politik hari ini, Barisan Nasional (BN) lebih cenderung bertanding secara solo di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun, beliau memahami bahawa di peringkat pucuk pimpinan parti ada pandangan atau formula yang berbeza.

“Saya rasa kita lebih cenderung untuk bertanding secara solo di Negeri Sembilan. Namun, kita faham di peringkat pucuk pimpinan mungkin ada pandangan lain dan kita perlu terbuka sekiranya terdapat formula yang lain.

“Tapi dari segi kehendak, saya rasa lebih kepada bertanding solo,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button