BERITA SEMASA

Komuniti diseru jadi wira internet selamat, perkukuh budaya digital beretika

TAWAU – Masyarakat diseru memainkan peranan sebagai wira Internet selamat dengan mengamalkan penggunaan ruang digital secara beretika, bertanggungjawab dan berwaspada terhadap pelbagai ancaman siber.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penggunaan internet kini menjadi sebahagian daripada kehidupan harian, namun orang ramai perlu sentiasa peka terhadap risiko seperti penipuan dalam talian, buli siber, penyebaran berita palsu dan penyamaran identiti.

Beliau berkata, usaha membudayakan penggunaan internet yang selamat perlu diteruskan secara konsisten dan tidak terhad kepada penganjuran program atau kempen bermusim.

“Saya berharap karnival ini bukan sekadar menjadi program sehari, tetapi menjadi titik permulaan kepada usaha berterusan membudayakan penggunaan internet yang selamat dalam setiap keluarga dan komuniti,” katanya ketika merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Tawau 2026 di Padang Kampung Batu Payung hari ini.

Internet
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Tawau 2026 di Padang Kampung Batu Payung hari ini. 

Menurut beliau, statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sehingga Jun lalu merekodkan sebanyak 3,875 aduan pengguna di Pantai Timur Sabah, dengan 1,232 daripadanya melibatkan kandungan dalam talian, sekali gus menunjukkan kepentingan meningkatkan tahap literasi dan kesedaran keselamatan digital dalam kalangan masyarakat.

Nizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas turut menghargai inisiatif MCMC mendekati masyarakat melalui penganjuran Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat, termasuk pelantikan Key Opinion Leaders (KOL) tempatan serta pembukaan pendaftaran Wira Internet Selamat.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau merakamkan penghargaan kepada MCMC atas tindakan pantas menangani masalah liputan internet di kawasan Batu Payung dan Tinagat selepas aduan dikemukakan pada Mei lalu.

Kis
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan merasmikan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat Peringkat Daerah Tawau 2026 di Padang Kampung Batu Payung hari ini.

Katanya, pasukan teknikal MCMC segera menjalankan pemeriksaan di lokasi terlibat dan beberapa kawasan kini menunjukkan peningkatan liputan, manakala baki kawasan yang masih bermasalah sedang dalam proses penyelesaian.

Beliau menjelaskan antara cabaran utama di Batu Payung ialah telefon bimbit penduduk sering bertukar secara automatik kepada rangkaian telekomunikasi Indonesia berikutan kedudukan kawasan itu yang berhampiran sempadan negara, sekali gus menjejaskan komunikasi harian.

Mengulas mengenai keselamatan siber, beliau berkata penguatkuasaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) yang bermula awal tahun ini menjadi langkah penting kerajaan dalam memperkukuh perlindungan pengguna, khususnya kanak-kanak, remaja dan institusi keluarga daripada ancaman serta kandungan berbahaya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan usaha mewujudkan ruang siber yang selamat memerlukan kerjasama semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik dan komuniti selaras dengan tema Kempen Internet Selamat, Internet Selamat, Tanggungjawab Semua.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button