POLITIK

Fahmi ingatkan tiada blok pengundi boleh dianggap ‘deposit tetap’ parti

BATU PAHAT – Setiap parti politik tidak boleh mengambil mudah sokongan pengundi kerana tiada undi yang boleh dianggap sebagai ‘fixed deposit’ atau deposit tetap kepada mana-mana parti, tegas Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil.

Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, sokongan rakyat perlu dipelihara dan diperoleh secara berterusan, selain mengingatkan bahawa undi pengundi amat berharga dalam menentukan masa depan negeri dan negara.

“Kita tak boleh ambil ringan sokongan daripada rakyat. Kita bukan hanya usaha untuk memperoleh sokongan, tapi kita perlu jaga.

“Saya percaya ramai dalam kalangan rakyat mengharapkan sesuatu yang lebih baik. Pada masa sama, apabila mereka mendengar beberapa kenyataan yang merisaukan dan menggerunkan, mungkin itu akan membuat mereka celik mata dan faham bahawa undi mereka bukan sekadar rahsia, tetapi terlalu berharga untuk menentukan masa depan bukan hanya negeri tetapi negara,” katanya.

Fahmi yang juga Pengarah Komunikasi PH berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Ramah Mesra Menteri Komunikasi bersama Penduduk Kampung Istana di sini, hari ini.

Baca juga : PRN Johor: Mohd Puad umum sokong calon PH di DUN Rengit

Terdahulu, Fahmi diminta mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menyebut pengundi bukan Melayu kini tidak lagi boleh dianggap sebagai ‘deposit tetap DAP’ dalam pilihan raya.

Dalam pada itu, beliau turut menolak tanggapan bahawa mana-mana blok pengundi boleh dianggap sebagai undi tetap kepada parti tertentu.

“Saya tak pernah fikir mana-mana satu undi itu adalah undi tetap. Kalau sebelum ini ramai beranggapan Dr Puad Zarkashi adalah undi tetap UMNO-BN, terbukti hari ini tidak.

“Jawapan saya ialah mungkin di kalangan UMNO Johor yang mereka anggap sebagai undi tetap itu, kenyataan Dr Puad Zarkashi membuktikan itu bukan lagi deposit tetap kepada UMNO Johor,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada beberapa perkembangan politik semasa yang menurutnya menunjukkan perubahan sokongan dalam kalangan pengundi dan pemimpin politik.

“Kalau kita tengok hari ini, beliau (Bekas ahli majlis kerja tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi) keluarkan kenyataan menyokong calon PH sendiri di DUN Rengit. Mungkin itu pun menjadi salah satu bukti calon PH dapat tempat di hati rakyat.

“Saya berpandangan susulan kepada kenyataan Datuk Seri Ismail Sabri, tidak ada undi tetap termasuk untuk UMNO. Kita lihat Puad menyokong calon PH di DUN Rengit dan sebelum ini ada anggota Bersatu menyokong calon PH di Seri Medan.

“Jadi tidak mustahil dalam hari-hari akan datang lebih ramai yang membuat kenyataan seperti itu,” katanya.

Fahmi berkata, perkembangan itu turut mencerminkan daya tarikan Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya semakin mendapat perhatian dalam kalangan rakyat.

“Ini membuktikan PH mempunyai daya tarikan sendiri, terutama di peringkat kepimpinan Perdana Menteri yang memberi imej baik kepada negara dan kebangkitan semula ekonomi negara termasuk di Johor.

“Ini peluang baik untuk lebih ramai menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button