BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Majlis Media Malaysia ditubuh untuk perkukuh etika kewartawanan – Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR – Kerajaan menegaskan komitmennya terhadap kebebasan media sambil memastikan maklumat yang disampaikan kepada rakyat adalah sahih, seimbang dan tidak mengelirukan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu termasuk penubuhan Majlis Media Malaysia (MMM) melalui Akta Majlis Media Malaysia 2025 (Akta 868) yang berkuat kuasa pada 14 Jun 2025.

Menurut beliau, majlis itu berperanan memastikan standard kewartawanan beretika, profesional dan bertanggungjawab dipatuhi oleh pengamal media di negara ini.

“Kerajaan MADANI sentiasa menghormati prinsip kebebasan media sebagai tonggak penting dalam sistem demokrasi. Namun kebebasan ini mesti dijalankan dengan penuh tanggungjawab.

“MMM bukan sahaja berfungsi sebagai ‘pengawas’ etika kewartawanan tetapi juga menyediakan mekanisme menyelesaikan aduan orang awam terhadap media bagi memastikan masyarakat mendapat maklumat yang sahih dan diyakini,” katanya ketika menjawab pertanyaan lisan Datuk Seri Utama Ir. Hasni Mohammad (Simpang Renggam) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa MMM telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertama pada 7 November 2025 dan meluluskan Kod Tatakelakuan serta Mekanisme Aduan menandakan langkah penting ke arah membina ekosistem media yang kukuh dan profesional.

Fahmi juga menekankan mekanisme tindakan tatatertib di bawah Akta 868 membolehkan MMM mengambil tindakan terhadap ahli yang melanggar peruntukan akta atau garis panduan yang ditetapkan.

“Ini adalah usaha kami untuk membina media yang bertanggungjawab selaras dengan prinsip ‘of the media, by the media, for the media’,” tambahnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button