BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Warga Kementerian Komunikasi disaran manfaatkan teknologi AI, tingkatkan mutu perkhidmatan

KUALA LUMPUR – Warga Kementerian Komunikasi dan semua penjawat awam disaran memanfaatkan sepenuhnya teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dalam usaha meningkatkan mutu perkhidmatan kerajaan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, teknologi AI seperti aplikasi Gemini yang dibangunkan oleh Google, menawarkan potensi besar dalam membantu kakitangan kerajaan dalam menjalankan tugasan seharian mereka.

Fahmi berkata, penggunaan AI dapat memudahkan pelbagai kerja sekiranya dioperasikan dengan betul.

“Sebagai contoh, saya mengambil gambar satu spesies pokok dan bertanya kepada Gemini untuk mengenal pasti jenis pokok tersebut.

“Dengan pantas, ia memberikan jawapan yang tepat tentang spesies pokok itu. Ini adalah contoh bagaimana AI dapat menjadi titik rujukan yang sangat berguna,” katanya pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Kementerian Komunikasi (Zon Semenanjung) di Seri Angkasa Angkasapuri Kota Media hari ini.

Hadir sama Timbalannya, Teo Nie Ching dan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Sehubungan itu kata Fahmi, teknologi AI yang tersedia secara percuma wajar dimanfaatkan untuk mempercepatkan urusan seharian khususnya dari aspek pengurusan maklumat.

“Harus diingat, teknologi AI bukanlah alat untuk plagiat tetapi lebih kepada teknologi yang boleh mempercepatkan proses kerja, seperti mana aplikasi Waze dan Google Maps yang membantu merancang laluan perjalanan yang terbaik.

“Tapi pemandunya masih kita. Jadi nasihat saya kepada warga KK, segera fahamkan, manfaatkan AI tapi tak bermakna kita harus kurang cemerlang atau kurang mengerah keringat. Kerja tetap kerja tapi boleh dipermudah guna AI,” ujarnya.

Beliau juga meminta Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR) melipatgandakan usaha dalam memberikan tunjuk ajar mengenai penggunaan AI kepada warga kerajaan termasuk dalam menangani berita palsu.

“Setiap bulan, semua jabatan dan agensi perlu mengemukakan laporan mengenai bilangan pegawai yang telah mengikuti latihan AI di IPTAR sebagai langkah memastikan penggunaan teknologi ini lebih meluas di kalangan penjawat awam,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button