BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kebakaran menara komunikasi di Padawan jejaskan kira-kira 1,000 pengguna

PADAWAN – Kira-kira 1,000 pengguna perkhidmatan komunikasi di beberapa kampung sekitar Padawan terjejas selepas sebuah menara komunikasi komersial milik Sacofa Sdn Bhd di Kampung Semaru, di sini terbakar dalam kejadian petang kelmarin.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian yang berlaku pada pukul 6 petang itu menyebabkan gangguan perkhidmatan komunikasi, termasuk kemerosotan liputan rangkaian dan sambungan yang tidak konsisten di kawasan terlibat.

menara komunikasi
Asap tebal kelihatan di puncak menara ketika kejadian berlaku.

Antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Semaru, Kampung Biya Parang, Kampung Sapit, Kampung Kiding, Kampung Pesang dan Kampung Subang.

Menurut MCMC, punca kebakaran masih dalam siasatan pihak berkuasa.

“MCMC telah mengarahkan penyedia perkhidmatan yang terlibat supaya melaksanakan langkah mitigasi dengan segera, termasuk mengoptimumkan liputan rangkaian sedia ada di kawasan berhampiran serta mengoperasikan Portable Base Transceiver Station (PBTS),” menurut kenyataan itu hari ini.

Langkah tersebut bertujuan memastikan kesinambungan perkhidmatan komunikasi sementara kerja-kerja pemulihan infrastruktur yang terjejas dilaksanakan.

Sepanjang tempoh pemulihan, pengguna yang terjejas disarankan memanfaatkan kemudahan di Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Kampung Darul Islam Belimbing, NADI Kampung Bengoh dan NADI Kampung Braang Bayur bagi mendapatkan akses kepada perkhidmatan komunikasi serta kemudahan digital berkaitan.

MCMC berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan situasi dan bekerjasama rapat dengan Sacofa Sdn Bhd, penyedia perkhidmatan serta agensi berkaitan bagi memastikan usaha pemulihan berjalan lancar dan perkhidmatan komunikasi dapat dipulihkan secepat mungkin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button