21 maut dalam serangan udara terbesar Rusia ke atas Kyiv
KYIV – Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh manakala 85 lagi cedera, termasuk dua kanak-kanak, selepas Rusia melancarkan serangan udara terbesar ke atas ibu negara ini, awal pagi semalam.
Serangan menggunakan dron dan peluru berpandu yang berlangsung selama beberapa jam itu memusnahkan beberapa bangunan pangsapuri serta menyebabkan puluhan mangsa tertimbus di bawah runtuhan.
Datuk Bandar Kyiv, Vitali Klitschko berkata, pasukan penyelamat masih menjalankan operasi mencari dan menyelamat di beberapa lokasi yang terjejas.

Susulan serangan itu, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky menggesa negara-negara sekutu mempercepatkan penghantaran sistem pertahanan udara, selain merayu Amerika Syarikat (AS) meluluskan lesen bagi membolehkan Ukraine mengeluarkan peluru berpandu pertahanan udara Patriot.
“Bekalan sistem pertahanan udara kepada Ukraine adalah keutamaan mutlak dan amat kritikal,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Pada masa sama, diplomat tertinggi Kesatuan Eropah (EU) mencadangkan sekatan baharu dikenakan terhadap Moscow bagi meningkatkan tekanan ke atas Rusia.
Namun, Kremlin menegaskan pihaknya akan terus meningkatkan tekanan terhadap Kyiv, sekali gus memberi isyarat tiada perubahan terhadap pendirian Moscow dalam konflik yang kini berlarutan lebih empat tahun.
Pakar pertahanan bagaimanapun berpandangan cadangan Ukraine untuk menghasilkan peluru berpandu Patriot di dalam negara memerlukan tempoh yang panjang sebelum dapat direalisasikan.
Sejak menceroboh Ukraine pada Februari 2022, Rusia berulang kali melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas bandar-bandar utama negara itu, sekali gus menjadikan konflik tersebut sebagai peperangan paling berdarah di Eropah sejak Perang Dunia Kedua.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















