Guru baling pemadam papan putih pada murid mengaku tidak bersalah
BATU PAHAT – Seorang guru wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang murid perempuan berusia tujuh tahun dengan membaling pemadam papan putih sehingga menyebabkan kecederaan berhampiran mata mangsa.
Tertuduh, Fakhriah Bustani, 47, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap murid tersebut di sebuah sekolah kebangsaan di Tongkang Pecah, dekat sini, kira-kira pukul 9 pagi pada 1 April lalu, memetik laporan Kosmo! Online.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Firdaus Ruslan manakala tertuduh diwakili peguam, Normaahani Rais daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,500 dan menetapkan 21 Ogos ini untuk sebutan semula kes serta serahan dokumen.
Berdasarkan laporan sebelum ini, mangsa memaklumkan kepada keluarganya bahawa seorang guru telah membaling pemadam papan putih ke arahnya sehingga terkena bahagian berhampiran mata.
Siasatan polis mendapati tertuduh dipercayai bertindak demikian kerana mendakwa mangsa tidak memberi tumpuan sepenuhnya semasa sesi pembelajaran di dalam kelas.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian bawah mata kanan dan pemeriksaan perubatan mengesahkan kecederaan tersebut berpunca daripada perbuatan tertuduh.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















