BERITA SEMASA

Saluran terbuka tidak ‘rampas’ hak, kuota sedia ada pelajar IPTA – Naib Canselor UPSI

KUALA LUMPUR – Saluran terbuka bagi kemasukan ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) tidak pernah mengambil atau merampas hak serta kuota sedia ada yang diperuntukkan kepada pelajar melalui saluran perdana.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, pelaksanaan saluran terbuka adalah tertakluk kepada garis panduan dan pemantauan ketat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), selain hanya dibuka selepas semua proses pengambilan dan rayuan melalui saluran utama selesai.

Menurutnya, KPT melalui pelbagai agensi termasuk bahagian inspektorat, governan dan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) sentiasa memantau pelaksanaan saluran terbuka bagi memastikan ia tidak menjejaskan peluang kemasukan pelajar melalui sistem sedia ada.

“Saluran terbuka tidak pernah mengambil sebarang tempat atau hak kuota sedia ada. Itu arahan dan larangan daripada KPT,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kebimbangan sesetengah pihak bahawa saluran terbuka di IPTA boleh menjejaskan peluang kemasukan pelajar melalui saluran perdana.

Md Amin berkata, data pengambilan pelajar melalui Unit Pusat Universiti (UPU) menunjukkan peningkatan setiap tahun, sekali gus membuktikan bahawa saluran terbuka tidak menjejaskan kuota sedia ada.

“Kita perhatikan tahun lepas meningkat 8,000, tahun ini pula kerajaan telah arahkan kursus-kursus kritikal, peningkatan lebih 3,000 orang iaitu bagi undang-undang, kecerdasan buatan (AI), perakaunan dan sebagainya.

“Ini menunjukkan bahawa saluran terbuka tidak pernah mengambil sebarang tempat atau pun hak kuota waima orang kurang mampu ke, kurang miskin dan sebagainya,” katanya.

Beliau menjelaskan bahawa pelaksanaan saluran terbuka bukan semata-mata bertujuan menjana pendapatan universiti, sebaliknya selaras dengan aspirasi Rancangan Pendidikan Tinggi Negara (RPTN) untuk memperluaskan akses kepada pendidikan tinggi.

“Yang pertama akses, yang kedua kualiti pendidikan kita beri. Yang ketiga, kita memberikan peluang kepada ramai orang untuk mendapat peluang pendidikan dan seterusnya kelestarian universiti,” katanya.

Menurut beliau, universiti turut menjana pendapatan melalui pelbagai sumber lain seperti perkhidmatan perundingan, penerbitan, penganjuran persidangan dan penggunaan kemudahan universiti.

“Universiti tak pernah meniaga, apa yang kita dapat, kita sumbangkan kembali kepada masyarakat. Dalam bentuk biasiswa, dalam bentuk bantuan SULUNG, dalam menambah baik kemudahan-kemudahan yang kita ada,” katanya lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa saluran terbuka hanya boleh ditawarkan selepas semua proses rayuan kemasukan selesai sepenuhnya, selaras dengan syarat yang ditetapkan KPT.

“Bukan suka-suka, budak masuk kita offer saluran terbuka, tak. Dia mesti setelah tamat proses rayuan. Semua proses rayuan telah diterima, baru kita boleh buka,” tegasnya.

Tambah beliau, jumlah pengambilan melalui saluran terbuka juga tidak besar berbanding pengambilan pelajar antarabangsa, pelajar pascasiswazah dan saluran profesional lain.

Katanya, kewujudan saluran terbuka turut memberi peluang kepada individu yang memilih untuk melanjutkan pengajian di IPTA kerana keyakinan mereka terhadap reputasi dan jenama universiti awam.

“Pada akhirnya, kita kembali kepada matlamat asal RPTN iaitu memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada masyarakat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button