BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: PH pertaruh calon muda, mahu suara belia diterjemah dalam pentadbiran negeri – Fahmi

MUAR – Pakatan Harapan (PH) membuktikan komitmennya terhadap agenda pemerkasaan golongan muda apabila mempertaruhkan ramai calon belia berkelayakan dan berpengalaman profesional pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, termasuk calon termuda berusia 23 tahun.

Pengarah Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, langkah itu mencerminkan kesungguhan gabungan berkenaan untuk memastikan aspirasi dan harapan generasi muda diterjemahkan melalui kepimpinan yang benar-benar memahami kehendak mereka.

“Calon yang paling muda bagi PRN kali ini datang daripada PH, saudara Danish Hossman, beliau merupakan calon termuda usia 23 tahun.

“Bagi PH, ini membuktikan bahawa kita mendengar harapan aspirasi anak muda, yang mereka harapkan adalah representasi yang benar-benar menjiwai harapan mereka, aspirasi mereka,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata demikian ketika hadir memberi sokongan kepada calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Ayna Soraya Badaruddin, di sini baru-baru ini.

Mengulas strategi menghadapi tempoh berkempen selama 14 hari, Fahmi berkata, kepimpinan gabungan itu sedang merangka pelbagai pengisian kempen yang lebih dinamik, termasuk pelancaran rasmi Manifesto PH Johor dalam masa terdekat.

Beliau berkata, pembentangan manifesto tersebut akan membuktikan kesungguhan PH untuk menawarkan pelan pentadbiran terbaik kepada rakyat Johor, selain berusaha meningkatkan pencapaian melebihi 12 kerusi yang dimenangi pada PRN Johor 2022.

Mengenai fokus kempen, Fahmi menasihatkan semua parti yang bertanding supaya mengutamakan persaingan sihat dengan memberi tumpuan kepada tawaran dasar dan kredibiliti calon, tanpa memainkan isu berkaitan agama, kaum dan institusi diraja (3R).

“Pandangan saya, tidak payah sentuh (isu 3R) pun, biar parti lawan parti. Fokus kepada parti-parti politik dan tokoh-tokoh politik,” katanya.

Sementara itu, Ayna Soraya berkata, beliau mahu menggunakan pengalamannya dalam bidang kejuruteraan maritim untuk membuka lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti tinggi kepada belia tempatan dalam bidang pertanian, perikanan dan pelancongan.

“Saya lihat sektor maritim atau perikanan, potensinya sangat baik.

“Saya difahamkan anak muda yang menjadi nelayan lebih kurang dua ke tiga peratus di Parit Jawa sahaja. Jadi, jika diberikan pembangunan yang lebih baik, peluang untuk anak muda itu luas,” katanya.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berlangsung pada 11 Julai ini dengan pengundian awal pada 7 Julai.

Ayna Soraya akan berdepan saingan tiga penjuru di DUN Sungai Balang apabila Barisan Nasional (BN) mengekalkan penyandang, Selamat Takim manakala Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan Muhammad Amin Sailan.

Pada PRN 2022, Selamat memenangi kerusi DUN tersebut dengan majoriti 2,293 undi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button