POLITIK

Puad Zarkashi dakwa Onn Hafiz takut berhujah dengan Maszlee

JOHOR BAHRU – Bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi tampil mencabar Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi untuk berdebat secara terbuka bagi membuktikan kredibiliti serta ketelusan kepimpinan negeri.

Cabaran itu dilontarkan susulan keengganan Onn Hafiz untuk mengadakan perdebatan dengan bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, yang didakwa kononnya sebagai tindakan yang tidak selari dengan budaya masyarakat Johor.

Puad menolak alasan yang diberikan Onn Hafiz bahawa perdebatan bukanlah budaya rakyat di negeri itu.

“Saya yakin Onn Hafiz sebenarnya takut untuk berdebat dengan Dr Maszlee. Dia guna alasan, bertikam lidah, berdebat bukan cara Johor.

“Siapa kata berdebat bukan cara Johor? Cara Johor ialah, berdebat biar beradab, berhemah dan tidak menengking,” katanya menerusi hantaran di akaun Facebooknya.

Beliau turut menyifatkan bahawa keterbukaan untuk berdebat sepatutnya dilihat sebagai satu peluang terbaik bagi rakyat untuk membuat penilaian terhadap kemampuan seseorang pemimpin.

Mengulas lanjut mengenai pendirian Onn Hafiz itu, Puad mendakwa Menteri Besar tersebut sebenarnya berasa tidak selesa untuk berdepan dengan lawan yang mempunyai keupayaan hujah yang kuat.

“Saya yakin Onn Hafiz banyak hujah, sepatutnya beliau setuju berdebat. Itu memberi peluang kepada rakyat untuk membuat penilaian.

“Kalau takut, beliau boleh sahaja menghantar Dr Akmal Salleh sebagai wakil, walaupun kita tahu beliau berani, cuma keberaniannya itu sering tidak bertempat,” tegasnya.

Dalam pada itu, Puad turut membangkitkan rekod terdahulu di Dewan Undangan Negeri (DUN) yang didakwa menunjukkan sikap tidak terbuka Onn Hafiz terhadap perbahasan.

Beliau mendedahkan bahawa pernah ditegah oleh Onn Hafiz ketika ingin membenarkan perbahasan melibatkan Enakmen ADUN Lantikan, selain pernah diminta untuk memendekkan masa sesi soalan lisan serta perbahasan oleh wakil rakyat.

Bagi Puad, tindakan memendekkan sesi perbahasan adalah satu bentuk ketidakadilan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang telah membuat persiapan rapi untuk menyuarakan denyut nadi rakyat.

Puad menegaskan bahawa maruah DUN Johor sebagai institusi perundangan tertinggi negeri harus dijaga, di mana nadi utama dewan berkenaan terletak pada sesi soalan lisan oleh wakil rakyat.

Beliau yang juga bekas ADUN Rengit menekankan bahawa sekiranya kerajaan memiliki majoriti dua pertiga yang kukuh, tiada alasan untuk berasa takut atau cemas bagi berdepan dengan mana-mana kritikan daripada pihak pembangkang atau wakil rakyat pengimbang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button