BERITA SEMASA

MAIS arah pertemuan segera selesai isu dakwaan kelewatan pengebumian jenazah

SHAH ALAM – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengarahkan satu pertemuan segera diadakan melibatkan waris, pengurusan Masjid Nurul Hidayah Kampung Pandan Dalam, Badan Kebajikan Salatulrahim (BKS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi mencari penyelesaian terbaik berhubung isu dakwaan kelewatan pengebumian jenazah baru-baru ini.

Pengerusi MAIS, Datuk Salehuddin Saidin berkata, langkah itu diambil bagi memastikan semua pihak yang terlibat dapat mencapai penyelesaian secara harmoni, selain mengelakkan insiden sama berulang pada masa hadapan.

“MAIS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga waris yang terlibat dalam isu dakwaan kelewatan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Hulu Kelang dan menzahirkan rasa dukacita atas insiden yang berlaku kepada waris di saat mereka kehilangan insan tersayang.

“MAIS memberi jaminan bahawa semua dapatan hasil siasatan pihak polis, sama ada daripada aspek jenayah, kecuaian atau salah faham komunikasi antara pihak yang terlibat akan diambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Salehuddin berkata, pihaknya mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad kelmarin berhubung hasil siasatan awal berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak pengurusan masjid.

Menurut beliau, MAIS juga dimaklumkan bahawa pihak pengurusan masjid, waris dan BKS telah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

BACA JUGA:
JAIS nafi masjid jadi punca kelewatan pengebumian jenazah tular di Ukay Perdana 
Waris nafi dakwaan JAIS, buat laporan polis pertahan nama baik keluarga

Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pihak supaya memberi ruang kepada polis menjalankan siasatan secara telus, adil dan menyeluruh.

Dalam pada itu, Salehuddin berkata, MAIS akan menilai semula pengurusan jenazah orang Islam yang dilaksanakan oleh pihak pengurusan masjid di negeri ini bagi mengenal pasti sebarang ruang penambahbaikan.

“Hal ini untuk memastikan pengurusan jenazah orang Islam dapat dilaksanakan dengan penuh tanggungjawab dan amanah, teratur dan cekap serta memenuhi tuntutan syarak,” katanya.

Beliau turut mengingatkan masyarakat Islam agar terus memperkukuhkan ukhuwah serta tidak menjadikan perbezaan pandangan dalam sesuatu perkara sebagai punca perpecahan dan kebencian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button