BERITA SEMASA

MMC lancar Semak Berita bagi tangani maklumat palsu sepanjang pilihan raya

CYBERJAYA – Majlis Media Malaysia (MMC) hari ini mengumumkan pelancaran Semak Berita, satu inisiatif awam bagi membantu mengesahkan maklumat yang diragui, palsu atau disalah guna sepanjang tempoh Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi MMC, Tan Sri Nallini Pathmanathan dalam sat kenyataan berkata, inisiatif berkenaan diwujudkan susulan kebimbangan terhadap penyalahgunaan identiti media ketika musim pilihan raya.

Beliau berkata, ketika tempoh pilihan raya, maklumat palsu bukan lagi sekadar muncul dalam bentuk khabar angin tetapi hadir dalam bentuk grafik berita yang kelihatan meyakinkan, tangkap layar palsu, logo media yang disalah guna, kenyataan rekaan, keputusan pilihan raya tidak sah atau kandungan yang dijana serta dimanipulasi menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).

“Apabila nama dan logo organisasi media sah digunakan untuk menyebarkan maklumat palsu, kesannya bukan hanya menjejaskan sesebuah organisasi berita tetapi kepercayaan awam terhadap keseluruhan ekosistem media turut terjejas.

“MMC bukan pengadil kebenaran politik. Kami tidak membuat keputusan terhadap manifesto, dakwaan kempen atau perdebatan antara parti politik,” kata Nallini dalam kenyataan tersebut, hari ini.

Beliau menjelaskan, inisiatif Semak Berita memberi tumpuan kepada fungsi pengesahan yang jelas.

“Garis yang kami tetapkan adalah mudah iaitu adakah kandungan ini benar-benar diterbitkan oleh organisasi berita berkenaan? Itu adalah perkara fakta yang boleh disahkan dengan cepat,” katanya lagi.

Mekanisme perintis Semak Berita akan beroperasi sepanjang tempoh pilihan raya dan bertindak sebagai platform penyelarasan bagi pengesahan pantas serta perkongsian maklumat antara pihak berkepentingan.

Organisasi media yang mengambil bahagian akan melantik pegawai pengesahan utama serta pegawai gantian bagi memberi respons sepanjang tempoh pilihan raya.

Sekiranya terdapat kandungan yang dipertikaikan termasuk grafik palsu menggunakan logo media, tangkap layar dimanipulasi atau dakwaan palsu berkaitan pusat mengundi, prosedur pengundian atau keputusan pilihan raya, MMC akan menyelaras proses pengesahan bersama pihak berkaitan.

Bagi perkara berkaitan prosedur pilihan raya seperti pusat mengundi, proses pengundian dan keputusan rasmi, isu berkenaan akan dirujuk kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai pihak berkuasa berkaitan.

Sekiranya kandungan melibatkan organisasi media tertentu, pengesahan akan dibuat secara terus dengan organisasi berkenaan.

Inisiatif itu akan dilaksanakan secara perintis sepanjang tempoh pilihan raya bagi menyokong pengesahan pantas serta meningkatkan keyakinan awam terhadap maklumat yang beredar dalam talian.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button