POLITIK

PRN Johor: PH pertaruh pengalaman Mohd Khuzzan sebagai bekas Exco negeri di DUN Semerah

BATU PAHAT – Pakatan Harapan (PH) yakin pengalaman luas yang dimiliki calonnya, Mohd Khuzzan Abu Bakar mampu menjadi nilai tambah dalam usaha menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Ketua Komunikasi PH, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Mohd Khuzzan yang pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor mempunyai rekod serta pengalaman yang boleh ditawarkan kepada pengundi di kawasan berkenaan.

Menurut beliau, pengumuman rasmi calon oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya menyaksikan pertandingan tiga penjuru di DUN Semerah.

“Saya sangat gembira dan berbangga dapat bersama memberikan sokongan kepada calon PH bagi N17 Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

“Kita percaya semua calon akan berkempen secara sihat dan berasaskan fakta. Mohd Khuzzan mempunyai pengalaman yang baik dan luas hasil perkhidmatannya sebelum ini.

“Pengalaman tersebut sudah pasti akan ditampilkan kepada warga Semerah dan para pengundi sepanjang tempoh kempen,” katanya pada sidang media selepas pengumuman calon di pusat penamaan calon DUN Semerah di sini hari ini.

Fahmi berkata, PH menawarkan seorang calon yang berwibawa dan berpengalaman bagi membawa aspirasi rakyat di kawasan itu.

Sementara itu, Mohd Khuzzan yang diumumkan sebagai calon nombor tiga berkata, beliau akan menggunakan pengalaman sebagai ADUN dan bekas Exco Kerajaan Negeri Johor bagi menawarkan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat Semerah.

“Alhamdulillah, proses penamaan calon telah selesai dan saya kini calon nombor tiga bagi PRN DUN Semerah.

“Insya-Allah saya akan memberikan yang terbaik kepada seluruh masyarakat di Semerah dan mengetengahkan segala usaha serta pencapaian yang pernah dilaksanakan ketika menjadi ADUN dan Exco Kerajaan Negeri Johor bagi penggal 2018 hingga 2022,” katanya lagi.

Beliau berkata, amanah yang diberikan parti akan digalas sebaik mungkin sepanjang kempen dan sekiranya diberikan mandat oleh pengundi.

Dalam perkembangan sama, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, pemantauan perjalanan kempen pilihan raya akan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi berkaitan.

“Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) turut memainkan peranan bagi memastikan penyebaran maklumat palsu dan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian awam dapat dibendung.

“Kita tidak mahu sebarang kandungan tidak sihat, berita palsu atau maklumat palsu disebarkan, termasuk kandungan yang menyentuh isu 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja.

“MCMC telah memaklumkan kepada saya bahawa pasukan mereka akan beroperasi 24 jam sehari sepanjang tempoh kempen sehingga hari pengundian pada 11 Julai ini,” katanya lagi.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya melaporkan kandungan mencurigakan atau palsu kepada platform media sosial terbabit serta membuat aduan kepada MCMC melalui portal aduan rasmi bagi membolehkan tindakan segera diambil.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button