BERITA SEMASA

Anwar zahir takziah kepada Venezuela susulan gempa bumi dahsyat

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada rakyat Venezuela yang terkesan dalam kejadian gempa bumi kuat yang melanda utara negara itu sehingga mengorbankan nyawa, memusnahkan bangunan serta mencetuskan keadaan darurat.

Anwar berkata, beliau turut bersedih dengan tragedi yang menimpa negara itu dan mengharapkan semua pihak yang terkesan diberikan kekuatan menghadapi ujian berkenaan.

Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap ketabahan pasukan penyelamat Venezuela yang kini sedang bertungkus-lumus menjalankan operasi mencari dan menyelamat dalam tempoh kritikal selepas kejadian gempa bumi tersebut.

“Malaysia percaya usaha pasukan kecemasan negara itu bersama bantuan masyarakat antarabangsa yang sedang digerakkan akan dapat meringankan beban mangsa yang terjejas,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Media antarabangsa melaporkan dua gempa bumi kuat bermagnitud 7.2 dan 7.5 melanda kawasan utara Venezuela sehingga menyebabkan bangunan runtuh di ibu negara Caracas, selain mencetuskan ratusan gegaran susulan.

Kejadian itu turut memaksa lapangan terbang utama ditutup akibat kerosakan teruk pada infrastruktur, manakala operasi mencari dan menyelamat kini giat dijalankan di kawasan terjejas.

Setakat ini, angka korban masih belum dimuktamadkan, namun pihak berkuasa mengesahkan terdapat kematian dan kecederaan, selain beberapa bangunan dilaporkan runtuh akibat gegaran kuat tersebut.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button