BERITA SEMASAPMX

Harga RON95 kekal RM1.99, subsidi diesel Sabah dan Sarawak terus ditanggung kerajaan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa harga RON95 kekal pada RM1.99 walaupun harga minyak dunia mencecah AS$107 (RM421) setong, manakala kerajaan terus menanggung subsidi diesel di Sabah dan Sarawak bagi meringankan beban rakyat.

Anwar berkata, kerajaan masih mengekalkan harga minyak termurah di dunia dengan harga RON95 di Malaysia jauh lebih rendah berbanding negara jiran seperti Singapura yang kini mencecah lebih RM10 seliter.

Beliau menekankan bahawa harga diesel untuk Sabah dan Sarawak tidak dinaikkan walaupun kos sebenar diesel mencecah RM4.30 seliter.

“Sekarang setelah perang, harga melonjak lagi. Tapi harga diesel Sabah, Sarawak tidak naik.

“Setiap liter diesel yang dijual pada RM2.15, selebihnya ditanggung kerajaan melalui subsidi.

“Pada tahun 2025, subsidi diesel untuk kedua-dua negeri itu sahaja berjumlah RM2 bilion, manakala tahun ini kerajaan persekutuan dijangka menanggung RM4.6 bilion bagi kos diesel.

“Jadi, setiap kali rakyat membeli diesel pada harga RM2.15, ingat siapa yang menanggung perbezaannya.

“Saya sebut perkara ini, kerana kita harus tahu. Ini tanggungjawab kita meringankan nasib rakyat,” kata Anwar ketika berucap pada Majlis Perasmian Sambutan Hari Pengguna Kebangsaan 2026 di Kota Kinabalu, Sabah, hari ini.

Beliau berkata, subsidi petrol RON95 pula membabitkan kos RM2 bilion sebulan atau RM24 bilion setahun dan kerajaan sedang mencari langkah terbaik bagi memastikan harga bahan bakar kekal stabil.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menekankan kepentingan keamanan dan perpaduan negara.

Beliau berkata, Malaysia menjadi contoh negara aman dengan ekonomi yang meningkat dan pihak berkuasa terus menumpukan usaha kepada pembangunan negara sambil belajar daripada pengalaman negara lain yang berterusan berhadapan konflik.

“Saya berdoa kepada Allah semoga perang itu berakhir dengan baik. Kita bersyukur kerana negara-negara ini hubungi kita.

“Kita negara kecil tetapi Raja Arab Saudi, Raja Qatar, Raja Kuwait, Presiden Iran, Menteri Luar Iran, semua menghubungi kita, bagi pandangan, mudah-mudahan dapat kita bantu sedikit, cuba meleraikan dan selesaikan,” ujarnya.

Menurut beliau, kestabilan harga minyak dan subsidi yang berterusan adalah langkah penting untuk memastikan rakyat dapat menjalani kehidupan dengan lebih selesa walaupun dalam keadaan harga minyak global meningkat.

“Kita syukur kerana Malaysia ini negara aman, negara kita jadi contoh perpaduan rakyat, ekonomi kita sedang meningkat, kita bawa mesej sederhana hidup aman damai antara kaum dan agama di Malaysia tercinta ini.

“Jaga, biar negara ini aman. Biar kita tumpukan pembangunan negara kita. Dengan ini saja kita mampu bertahan,” tegasnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button