BERSATU nafi dakwaan bantah PEJUANG sertai PN – Hilman Idham
CYBERJAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dengan tegas menafikan dakwaan bahawa parti itu membantah kemasukan PEJUANG ke dalam Perikatan Nasional (PN) seperti dilaporkan sebuah portal pada 24 Jun lalu.
Ketua ARMADA, Muhammad Hilman Idham berkata, laporan Utusan Malaysia berjudul “Lapan MT PN Bantah Penyertaan Wawasan, Pejuang” adalah tidak tepat, mengelirukan dan gagal menggambarkan pendirian sebenar parti berkenaan.
“Hakikatnya, keputusan menerima PEJUANG sebagai parti anggota diputuskan secara ‘sebulat suara’.
“BERSATU menyokong penyertaan PEJUANG dan hanya membantah kemasukan Parti Cinta Malaysia (PCM) atas faktor pematuhan undang-undang serta implikasi terhadap kestabilan dan keharmonian dalaman gabungan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, Hilman berkata, BERSATU menggesa portal berkenaan supaya membetulkan segera tajuk dan kandungan laporan tersebut bagi mengelakkan kekeliruan berterusan dalam kalangan rakyat serta memastikan integriti pemberitaan terus terpelihara.
“Seperti yang telah dijelaskan oleh Naib Presiden BERSATU, (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) dalam satu kenyataan media bertarikh 23 Jun 2026, bantahan terhadap PCM dibuat kerana proses permohonannya menimbulkan persoalan serius dari sudut pematuhan peraturan dan undang-undang.
“Permohonan tersebut dikemukakan atas nama PCM, namun maklumat kepimpinan yang disertakan adalah atas nama Parti Wawasan Negara (WAWASAN), sedangkan pertukaran nama parti dan perubahan kepimpinan tersebut masih belum mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM),” jelas beliau.
Beliau menambah, penerimaan permohonan tersebut bukan sahaja boleh menimbulkan pertikaian dari segi kesahihan organisasi yang memohon, malah berpotensi mewujudkan konflik dalaman yang tidak perlu dalam PN pada masa hadapan.
“BERSATU berpandangan bahawa setiap keputusan yang melibatkan hala tuju dan komposisi PN hendaklah dibuat secara telus, teratur dan berlandaskan undang-undang.
“Tiada mana-mana pihak, tanpa mengira kedudukan, boleh mengabaikan proses yang sepatutnya atau mengharapkan pengecualian daripada peraturan yang wajib dipatuhi oleh semua,” kata Hilman lagi.
Justeru, katanya, BERSATU akan terus mempertahankan prinsip tadbir urus yang baik, menghormati kedaulatan undang-undang serta memastikan setiap keputusan yang dibuat oleh PN adalah demi kepentingan gabungan dan rakyat, bukannya didorong oleh pertimbangan politik jangka pendek.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








