KALAU dahulu, ‘pergi kerja’ bermaksud keluar rumah awal pagi, menempuh kesesakan jalan raya, kemudian duduk di pejabat lapan jam atau lebih, hari ini definisi itu semakin berubah.
Bekerja dari rumah (BDR) atau Work From Home (WFH) kini menjadi sebahagian daripada rutin baharu ramai pekerja di Malaysia sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta.
Secara mudahnya, BDR ialah keadaan di mana seseorang melaksanakan tugas rasmi dari rumah menggunakan internet, komputer dan pelbagai aplikasi digital.
Menariknya, walaupun lokasi berubah, tuntutan kerja tetap sama. Malah dalam banyak kes, prestasi juga masih dipantau secara ketat oleh organisasi.

Tak boleh sewenang-wenangnya melaksanakan tugasan dengan kebebasan tidak terkawal dalam aturan masa dan kualiti kerja.
Pelaksanaan BDR di Malaysia kelihatannya tidak seragam. Ada organisasi yang sangat fleksibel, membenarkan pekerja bekerja dari rumah beberapa hari seminggu.
Ada juga yang lebih berhati-hati dan hanya melaksanakannya dalam situasi tertentu seperti mesyuarat dalam talian atau tugasan yang berbentuk analisis.
Sektor swasta seperti teknologi dan kewangan lebih cepat menyesuaikan diri, manakala sektor tertentu dalam kerajaan masih mengekalkan kehadiran fizikal untuk memastikan kelancaran perkhidmatan awam.
Perubahan ini berlaku kerana beberapa faktor utama.
Kemajuan teknologi menjadi pemangkin utama, diikuti keperluan mengurangkan kos operasi, kesesakan lalu lintas bandar dan kesedaran tentang pentingnya keseimbangan hidup dan kerja.
Pengalaman semasa pandemik pula menjadi ‘ujian besar’ yang membuktikan bahawa banyak kerja sebenarnya boleh dilakukan tanpa perlu berada di pejabat sepanjang masa.
Dari sudut kajian, BDR bukan sekadar trend.
Kajian terkenal oleh Nicholas Bloom di syarikat Trip.Com di China menunjukkan pekerja yang bekerja dari rumah meningkat produktiviti sekitar 13 peratus dan lebih puas hati dengan kerja mereka.

Kajian ini sering dijadikan rujukan kerana ia menunjukkan bahawa fleksibiliti boleh memberi kesan positif jika diurus dengan baik, bukan sekadar andaian.
Di Malaysia pula, kajian-kajian pasca pandemik menunjukkan ramai pekerja menghargai fleksibiliti BDR kerana ia menjimatkan masa perjalanan dan memberi lebih ruang bersama keluarga.
Namun begitu, realitinya tidak semuanya mudah. Ada yang berdepan gangguan di rumah, sukar fokus, atau merasa ‘terputus’ daripada rakan sekerja kerana komunikasi tidak lagi berlaku secara bersemuka.
Jika dilihat secara seimbang, BDR ini ibarat dua sisi duit syiling.
Di satu sisi, ia memberi kebebasan, penjimatan masa dan potensi produktiviti yang lebih baik. Di sisi lain pula, ia menuntut disiplin diri yang tinggi.
Tanpa pengurusan masa yang baik, kerja boleh terbawa hingga lewat malam atau sebaliknya, menjadi tidak fokus.
Seperti kata peribahasa Melayu, ‘kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya’, bermaksud kejayaan BDR tetap bergantung pada usaha dan disiplin individu.

Dalam Islam, kerja bukan sekadar mencari rezeki tetapi satu amanah.
Allah SWT berfirman dalam Surah al-Nisa’ ayat 58 yang menegaskan bahawa amanah perlu diserahkan kepada yang berhak.
Ini memberi mesej jelas bahawa sama ada bekerja di pejabat atau di rumah, tanggungjawab tetap tidak berubah.
Kejujuran, integriti dan disiplin adalah asas yang menentukan keberkatan dalam pekerjaan.
Pada masa yang sama, majikan juga dituntut untuk berlaku adil dan tidak membebankan pekerja secara tidak munasabah.
Menariknya, isu kerja fleksibel ini turut diberi perhatian oleh kerajaan.
Dalam satu perutusan khas pada Mac 2026, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa pelaksanaan bekerja dari rumah bagi penjawat awam sedang diperhalusi secara berperingkat, selain menggalakkan sektor swasta mempertimbangkan pendekatan yang sama.
Ini menunjukkan bahawa cara kita bekerja sedang berubah, daripada fokus kepada ‘di mana kita bekerja’ kepada ‘apa hasil yang kita hasilkan’.
Kesimpulannya, BDR bukan sekadar perubahan tempat kerja, tetapi perubahan cara kita berfikir tentang kerja itu sendiri. Ia menuntut keseimbangan antara fleksibiliti dan tanggungjawab.
Jika diurus dengan baik, rumah bukan lagi sekadar tempat tinggal, tetapi boleh menjadi ruang produktif yang menyokong kehidupan kerja yang lebih seimbang dan manusiawi.
- Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
















