Integriti kunci kredibiliti PDRM – Timbalan Ketua Polis Negara
ISKANDAR PUTERI – Polis Diraja Malaysia (PDRM) komited memperkukuh aspek integriti dalam kalangan pegawai serta anggotanya demi memelihara kepercayaan masyarakat dan mengangkat kredibiliti pasukan.
Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kecanggihan aset serta kemudahan moden pasukan keselamatan tidak akan bermakna sekiranya aspek integriti terus dipandang enteng.
“Kita boleh mempunyai pengalaman, kemahiran dan aset yang canggih, tetapi jika tidak mempunyai integriti, semuanya tidak bernilai.
“Integriti datang daripada jiwa dan karakter seseorang, bukan daripada pengalaman atau kemahiran. Jika kehilangan karakter, kita kehilangan segala-galanya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri, di sini, hari ini.
Ayob Khan berkata, cabaran keselamatan masa kini menjadi semakin kompleks apabila pihak berkuasa bukan sahaja berdepan jenayah konvensional, malah terpaksa mendepani ancaman baharu seperti jenayah siber, sindiket penipuan dalam talian, penyeludupan rentas sempadan, serta jenayah transnasional.
Sehubungan itu, Beliau berkata, bagi memastikan keselamatan awam kekal terpelihara, pasukan polis harus memperkasakan keupayaan operasi dan penyiasatan dengan mengguna pakai pendekatan yang proaktif, tangkas, serta berteraskan data.
Beliau turut menekankan aspek keselamatan tanggungjawab bersama yang memerlukan kerjasama erat antara polis dan masyarakat.
“Tanpa sokongan rakyat, usaha pasukan keselamatan tidak akan mencapai tahap keberkesanan yang maksimum.
“Hubungan antara polis dan masyarakat perlu terus diperkukuh demi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







