Kerajaan pertimbang Afrika, Rusia, Turkiye sumber baharu bekalan bahan api
GEORGE TOWN – Kerajaan sedang mempertimbangkan Afrika, Rusia dan Turkiye sebagai sumber baharu bekalan bahan api susulan ketegangan berterusan di Asia Barat.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, Malaysia juga sedang meneliti untuk mengimport minyak mentah dari Amerika Syarikat dan Amerika Selatan, selain produk petroleum bertapis dari Singapura.
Jelas beliau, memandangkan minyak mentah mempunyai kualiti dan ciri berbeza mengikut negara, kilang penapisan minyak di Malaysia perlu mempunyai keupayaan untuk memprosesnya sebelum sebarang keputusan perolehan dibuat.
“Petronas perlu menjalankan penilaian teknikal terlebih dahulu sebelum perjanjian bekalan baharu dimuktamadkan.
“Ia bukan sekadar mencari bekalan dari mana-mana sumber. Ia juga melibatkan penentuan sama ada bekalan dari lokasi tertentu sesuai untuk diproses di kemudahan kita,” katanya selepas merasmikan Pusat Inovasi Teknologi NCER di Zon Perindustrian Bebas Bayan Lepas, hari ini.
Beliau berkata, setakat ini stok bekalan bahan api negara mencukupi sehingga hujung Julai, walaupun berdepan gangguan rantaian bekalan global berterusan serta ketegangan geopolitik.
Katanya, Putrajaya hanya boleh mengesahkan bekalan bahan api sehingga Julai berdasarkan perjanjian sedia ada.
“Kami tidak mahu memasuki perjanjian yang terlalu panjang dan kemudian terikat dengannya sekiranya berlaku perubahan harga minyak,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















