SUKAN

Iran dakwa kuota tiket penyokong ditarik balik menjelang Piala Dunia

TIJUANA – Persekutuan Bola Sepak Republik Islam Iran (FFIRI) mendakwa kuota tiket yang diperuntukkan kepada penyokong pasukan kebangsaan negara itu bagi saingan Piala Dunia 2026 telah ditarik balik hanya beberapa hari sebelum kejohanan bermula.

Menurut FFIRI, tindakan berkenaan menyebabkan ramai penyokong Iran yang telah membuat persiapan awal termasuk mengatur perjalanan serta penginapan kini berdepan kesukaran untuk mendapatkan tiket bagi menyaksikan aksi pasukan kebangsaan mereka.

FFIRI menjelaskan, proses penjualan tiket kepada penyokong sebelum ini telah dimulakan mengikut saluran rasmi, namun pihaknya kini tidak lagi mempunyai akses untuk mengagihkan tiket yang diperuntukkan.

“Ramai penyokong bola sepak Iran telah membuat perancangan berdasarkan proses rasmi yang diumumkan sebelum ini untuk menghadiri perlawanan pasukan kebangsaan.

“Menafikan hak penyokong Iran untuk mendapatkan kuota tiket rasmi yang diperuntukkan kepada mereka adalah tindakan yang bertentangan dengan semangat pertandingan antarabangsa dan prinsip kesaksamaan antara negara peserta,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, FFIRI menyifatkan perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang membimbangkan kerana ia menimbulkan persoalan serius mengenai kemungkinan campur tangan faktor bukan sukan dan politik dalam penganjuran kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu.

Kebiasaannya, setiap negara yang layak beraksi di Piala Dunia akan menerima peruntukan sebanyak lapan peratus daripada jumlah keseluruhan tiket bagi setiap perlawanan untuk diagihkan kepada penyokong menerusi mekanisme yang ditetapkan oleh persatuan bola sepak masing-masing.

Bagaimanapun, FFIRI tidak menamakan mana-mana pihak yang bertanggungjawab terhadap keputusan tersebut, sebaliknya menggesa FIFA agar terus berpegang kepada prinsip berkecuali, keadilan serta peraturan yang telah ditetapkan.

Persekutuan itu turut menyeru badan induk bola sepak dunia berkenaan memastikan sebarang isu di luar padang tidak menjejaskan kelancaran perjalanan kejohanan.

Setakat ini, FIFA masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berhubung dakwaan yang dibangkitkan oleh FFIRI.

Piala Dunia 2026 dijadual membuka tirainya pada Khamis ini dengan Iran bakal memulakan kempen Kumpulan G menentang New Zealand di Los Angeles pada 15 Jun, sebelum berdepan Belgium pada 21 Jun dan Mesir di Seattle pada 26 Jun.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button