BERITA SEMASA

Guru cedera akibat letupan gas bocor

ALOR GAJAH – Seorang guru dilaporkan cedera kelecuran kira-kira 50 peratus di bahagian muka dan tangannya akibat letupan gas dipercayai berpunca daripada tong gas bocor di dapur rumah disewanya di Taman Baiduri, Kuala Ina, dekat sini semalam.

Sebelum kejadian kira-kira jam 10.26 pagi semalam, Mohamad Edham Zul, 29, yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Mansor Shah, Tampin, dipercayai terdengar bunyi mencurigakan yang disyaki berpunca daripada kebocoran gas di rumah berkenaan.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, mangsa kemudian dipercayai melakukan pemeriksaan bagi mengenal pasti punca bunyi didengarinya.

“Namun berlaku satu letupan secara tiba-tiba yang menyebabkan mangsa melecur dianggarkan 50 peratus pada beberapa anggota badan. Rawatan awal diberikan anggota Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) JBPM.

“Mangsa kemudian diserahkan kepada pasukan perubatan Kementerian Kesihatan. Setakat ini, pemeriksaan serta pemantauan risiko kebocoran gas susulan telah dilaksanakan, termasuk mendapatkan bantuan agensi berkaitan bagi memastikan keadaan selamat,” katanya.

Beliau menambah, pemeriksaan di lokasi mendapati impak letupan menyebabkan kerosakan ketara pada struktur rumah, termasuk bahagian bumbung, pintu dan tingkap, manakala kesan haba dan jelaga di sekitar ruang dapur yang dipercayai lokasi letupan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button