BERITA SEMASA

Belanjawan 2027: Baik pulih sekolah daif, pengambilan guru baharu diteruskan

KUALA LUMPUR – Kerajaan memberi jaminan projek penyelenggaraan dan baik pulih sekolah daif di seluruh negara akan diteruskan, biarpun langkah penjimatan bakal diperkenalkan dalam Belanjawan 2027 ekoran cabaran ekonomi global.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, walaupun langkah penjimatan dilaksanakan, perancangan teras Kementerian Pendidikan termasuk pengambilan guru baharu dan tambahan bilik darjah tetap diteruskan.

“Kita menyambut baik pengumuman (penjimatan) itu dalam konteks (tekanan ekonomi global) yang sedang berlaku ketika ini dengan penuh kesedaran dan tanggungjawab.

“Bagaimanapun sekolah daif dan penyelenggaraan akan diteruskan seperti biasa kerana mahu ia sebahagian daripada gerak kerja konsisten untuk memastikan sekolah kondusif serta institusi pendidikan terus selamat untuk anak-anak.

“Kita tidak mahu rakyat risau atau gusar kerana dari aspek penjimatan itu tidak membabitkan perkara-perkara besar di peringkat kementerian.

“Sebagai contoh, program Rancangan Makanan Tambahan (RMT), kita (KPM) akan meneruskannya kerana ia penting untuk nutrisi kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr,AI) 2026.

Beliau mengulas mengenai langkah penjimatan dalam Belanjawan 2027, yang terpaksa diperketatkan susulan tekanan ekonomi global yang menjejaskan kedudukan fiskal negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ketidaktentuan geopolitik memberi kesan kepada ekonomi dunia, sekali gus menuntut perbelanjaan kerajaan yang lebih berhemah.

Beliau berkata, kemungkinan itu turut mengambil kira kesan rantaian ketegangan serangan Amerika Syarikat (AS) dan sekutunya Israel ke atas Iran yang memberi impak kepada ekonomi global termasuk Malaysia.

Terdahulu, Fadhlina mewakili Perdana Menteri merasmikan Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr.AI) 2026 di Wisma Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di sini, hari ini.

Gimik perasmian Simposium Antarabangsa Kepustakaan, Terjemahan dan Kecerdasan Buatan (LiTr,AI) 2026.

Hadir sama, Ketua Pengarah DBP, Datuk Dr Hazami Jahari dan Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) Noor Amin Ahmad.

Pada majlis sama, Kepala Dinas Perpustakaan dan Kearsipan Provinsi DKI Jakarta, Dr Nasruddin Djoko Surjono turut menyampaikan ucapan.

Sementara itu, Fadhlina berkata, walaupun gesaan penjimatan itu satu seruan penting dan kritikal ketika ini, pihaknya memberi jaminan ia tidak akan mengganggu keutamaan di KPM.

“Ini termasuk usaha kementerian melaksanakan kurikulum baharu tahun hadapan dan juga kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu tahun hadapan.

“Semuanya akan dilaksanakan sebagaimana dirancang dan penjimatan itu akan pastinya kita lihat dari semasa ke semasa supaya ia tidak mengganggu keutamaan kementerian,” katanya.

Mengulas mengenai pengambilan guru dan projek naik taraf bilik guru, Fadhlina berkata pelaksanaannya berjalan seperti biasa.

“KPM sebelum ini turut mengumumkan peruntukan bagi penyelenggaraan dan penambahbaikan bilik guru sempena sambutan Hari Guru, selaras usaha mewujudkan persekitaran kerja yang lebih kondusif di sekolah,” katanya.

Mengenai pengagihan Baucar Buku pula, beliau berkata bantuan itu akan diserahkan kepada murid selepas sesi persekolahan bersambung semula selepas cuti sekolah.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button