BERITA SEMASA

Awan berkelompok, angin kuat cabaran operasi SAR Jaslinda

TAPAH – Keadaan awan berkelompok, tiupan angin kuat serta kawasan pendaratan yang sempit dan dikelilingi pokok tebal antara cabaran utama yang dihadapi pasukan penyelamat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita hilang, Jaslinda Saludin di Gunung Batu Putih.

Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd Hasrizal Kamaruzzaman berkata, operasi udara menggunakan helikopter MI-17 milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) semalam melibatkan teknik winching bagi menurunkan dan membawa keluar anggota penyelamat ke kawasan pencarian.

Menurut beliau, seramai 32 anggota pasukan penyelamat berjaya dihantar ke kawasan Kem Sukaneka menerusi operasi tersebut.

“Cuaca pagi ini baik, namun terdapat awan berkelompok dan angin kuat. Cabaran utama ialah proses winching dilakukan di kawasan yang agak terhad serta dikelilingi pokok menyebabkan helikopter sukar dikendalikan,” katanya di Pusat Kawalan Hadapan (PKH) operasi SAR Gunung Batu Putih di Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Bidor semalam.

Beliau berkata, proses menurunkan dan menaikkan anggota perlu dilakukan dengan pantas bagi mengelakkan sebarang risiko kegagalan mekanikal atau masalah teknikal pada sistem hoist yang digunakan.

“Jika sistem hoist beroperasi terlalu lama, suhu peralatan boleh meningkat secara ekstrem dan berisiko menyebabkan gangguan mekanikal atau sistem tersangkut. Sebab itu pemantauan dan pemeriksaan perlu dilakukan secara berterusan,” katanya lagi.

Mohd Hasrizal yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun sebagai juruterbang dan pembantu juruterbang JBPM pernah terlibat dalam beberapa operasi SAR berprofil tinggi termasuk di Gunung Yong Yap pada 2023 serta tiga misi menyelamat di Gunung Tahan, Pahang.

Jaslinda, 49, dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi Trans Spencer Chapman bersama 13 pendaki lain dan dua Malim Gunung Perhutanan pada 23 Mei lalu.

Mangsa yang mengalami masalah kesihatan bersama seorang lagi pendaki sebelum itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak dan kali terakhir dilihat pada jam 7.30 pagi, 24 Mei.

Operasi SAR kini diteruskan dengan penglibatan pelbagai agensi termasuk JBPM, Polis Diraja Malaysia, Pasukan Gerakan Am dan Jabatan Perhutanan bagi mengesan lokasi mangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button